GEORGE TOWN, 20 Ogos 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia2021 mengenai Kemudahan Sektor Ekonomi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sejumlah 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula berkuatkuasa 16 Ogos 2021 dengan syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50% dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, memaklumkan bahawa KPDNHEP KPDNHEP telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memantau ke atas pematuhan aktiviti/ jenis premis di bawah seliaan Kementerian dengan mempergiatkan pemeriksaan pematuhan SOP di bawah Akta 342 terhadap 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran yang baharu dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 PPN di bawah pelaksanaan OPS SAMAR.
OPS SAMAR merupakan penguatkuasaan dan pengkompaunan ke atas ketidakpatuhan premis dalam sektor perdagangan di bawah SOP PPN Fasa 1, 2 dan 3. Pemeriksaan adalah secara berpakaian preman termasuk penyamaran sebagai pelanggan bagi memastikan peniaga tidak melanggar SOP PPN Fasa 1, 2 dan 3.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan yang deterent/tegas akan dikenakan terhadap ketidakpatuhan SOP PPN dengan hasrat Kementerian adalah untuk memastikan SOP dipatuhi dengan serius. Pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran ini merupakan satu usaha dan tanggungjawab seimbang secara bersama bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik.
Sehubungan itu, KPDNHEP telah menggerakkan semua Pegawai Penguat Kuasa untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan pembukaan 22 sektor tambahan ini tidak memberi kesan kepada penularan semula pandemik Covid-19 di negara kita.
Sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dibuat terhadap pematuhan SOP PKP Akta 324 digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 19 Ogos 2021, sejumlah 730,687 premis telah diperiksa dan daripadanya sejumlah 839 kes/kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP dengan nilai kompaun sejumlah RM4,454,000.00. Berdasarkan statistik, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan.
Sekiranya peniaga memerlukan panduan mengenai SOP PPN Fasa 1, 2 dan 3 oleh sektor perdagangan dan pengedaran yang terlibat, peniaga digesa untuk membuat semakan SOP PPN yang terkini di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di capaian web https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-perintah-kawalan-pergerakan/ .