PUTRAJAYA, 7 Julai 2021 –Menteri Kanan (Pertahanan) mengumumkan bahawa enam (6) negeri telah berjaya mencapai nilai ambang ditetapkan dan seterusnya beralih ke fasa ke-2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang.
Susulan pengumuman tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum bahawa terdapat beberapa sektor baharu di bawah Sektor Perdagangan Pegedaran telah dibenarkan beroperasi. Antaranya ialah, kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, dan lain-lain lagi.
KPDNHEP terus komited menggerakkan seramai 2,262 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh Negara bagi menguatkuasakan pematuhan SOP PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) serta penguatkuasaan OPS PATUH di seluruh Negara.
Sehingga 6 Julai 2021, sejumlah 634,350 premis telah diperiksa di bawah SOP PKP Akta 342 dan daripadanya sejumlah 714 kes/kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan nilai kompaun sejumlah RM4,067,000.00. Angka ini termasuk 58 kes kompauan yang dihasilkan daripada 9,805 pemeriksaan yang dijalankan di bawah OPS PATUH.
KPDNHEP turut mengucapkan terima kasih di atas komitmen dan keprihatinan Kerajaan kerana telah memasukkan industri Sektor Perdagangan Pengedaran di seluruh Negara yang dikategorikan sebagai vaksinasi ekonomi kritikal di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Selain itu, sektor ini juga merupakan entiti penting kepada kesejahteraan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan membekalkan barang makanan dan keperluan harian pengguna.
Bagi mengawal penularan Covid-19 ini kerjasama semua pihak dalam Sektor Perdagangan Pengedaran khususnya perlu di perkukuhkan untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi demostik Negara serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat