PUTRAJAYA, 22 Jun 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita sejak akhir-akhir ini berkenaan tindakan yang diambil oleh Penguat Kuasa KPDNHEP terhadap peniaga-peniaga dan premis mereka.
Tindakan yang diambil itu berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengumuman Kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'Total Lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun hingga 14 Jun yang telah dilanjutkan ke Fasa Kedua yang berakhir pada 28 Jun 2021.
KPDNHEP ingin menjelaskan bahawa tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP Majlis Keselamatan Negara dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0.
Sehubungan itu, KPDNHEP menyarankan kepada peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya.
KPDNHEP menasihatkan peniaga supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan Kerajaan. Ini termasuklah menyediakan dokumendokumen yang sah ketika pemeriksaan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP.
Sekiranya peniaga masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, mereka boleh menghubungi pihak Kementerian untuk permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang status permohonan mereka di talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada
KPDNHEP juga ingin menasihatkan semua peniaga supaya sentiasa merujuk kepada laman sesawang rasmi Kementerian untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih di portal Kementerian di pautan www.KPDNHEP.gov.my.