PUTRAJAYA, 16 Jun 2021 – Susulan laporan yang diterima oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkenaan kenaikan harga sayur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, pemantauan dan pemeriksaan telah dilakukan ke atas beberapa pasar-pasar awam dan pasaraya di sekitar Putrajaya.
Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Tuan Hj Azam bin Adam, hasil pemeriksaan di beberapa pasar awam mendapati sayuran jenis tomato dan timun jepun mengalami kenaikan harga diantara 15% hingga 30% manakala sayuran jenis lain didapati masih stabil.
Pemantauan di pasaraya turut dilakukan dan mendapati harga semua jenis sayuran stabil seperti harga sebelum ini tanpa kenaikan yang ketara.
“Situasi bekalan sayuran dilihat masih stabil di semua pasar-pasar awam dan pasaraya disekitar Putrajaya ini, namun tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands” katanya.
Dalam pada itu, pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas harga sayur dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.
Tuan Hj Azman turut mengingatkan pengguna untuk menyalurkan maklumat aduan berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui saluran aduan yang disediakan oleh pihak Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP