PUTRAJAYA, 10 MEI 2021 – Sebanyak 2,000 unit baucer, setiap satu bernilai Ringgit Malaysia RM50.00 telah diserahkan oleh Shopee Malaysia kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Program Food Bank Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000.00.
Majlis Penyerahan 2,000 e-voucher tersebut merupakan salah satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi tahun 2021.
Dalam ucapannya, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian mengalu-alukan penyertaan pemain-pemain industri seperti Shopee Malaysia dalam program berbentuk tanggungjawab sosial ( CSR) sebagai penzahiran rasa terima kasih dan keperihatinan syarikat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membantu dan meringankan kos sara hidup rakyat terutama B40 dan mereka yang terkesan dengan Pandemik Covid-19.
“Kerjasama KPDNHEP dan pemain industri e-dagang seperti Shopee telah banyak membantu usahawan-usahawan tempatan terutamanya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam menembus ke pasaran dunia dan memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kolaborasi KPDNHEP dengan Shopee Malaysia di dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) telah membuka ruang dan kejayaan yang besar terhadap usahawan dan produk serta perkhidmatan tempatan. Usaha pihak Shopee menyediakan satu landing-page yang khusus dalam platform mereka untuk menonjolkan produk-produk tempatan sememangnya wajar dipuji.
“Dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020, jualan daripada sekitar 120,000 barangan buatan tempatan yang disenaraikan dalam laman mikro KBBM di Shopee mencecah lebih daripada RM100 juta di mana ini telah memberi manfaat kepada 7,700 penjual tempatan,” ujarnya.
KPDNHEP berharap agar kolaborasi Kementerian dengan pemain industri dalam program CSR yang lebih inovatif diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang kerana Kementerian yakin program sebegini berupaya menjalin hubungan erat dengan pelbagai pihak termasuk peniaga dan pengguna.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP