PUTRAJAYA, 23 APRIL 2021 – Perdana Menteri menyatakan salah satu kaedah untuk mempercepat pemulihan ekonomi adalah dengan menggunakan teknologi baru. Pandemik ini menunjukkan pentingnya peningkatan dan pengukuhan teknologi dan infrastruktur digital kita untuk memudahkan pengurusan kerja.
Ia juga telah menimbulkan rasa “urgency” atau pentingnya agenda kemasukan digital, untuk membolehkan berjuta-juta orang melakukan pekerjaan, menjalankan perniagaan, belajar dan berhubung secara digital.
Menurutnya, melalui pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia pula, antara sasarannya ialah untuk memacu transformasi digital sektor awam. Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025.
“Dalam memastikan kelancaran blueprint tersebut, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21 bilion untuk lima tahun ke hadapan bagi melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi ini dengan mempercepat penyambungan digital negara melalui penyebaran akses mudah alih, akses fiber dan tanpa wayar, serta membuka jalan ke arah spektrum 5G.
Kita yakin ia akan mendorong penggunaan teknologi dan transformasi digital dengan lebih hebat lagi di dalam semua bentuk aktiviti harian,” ujarnya ketika menyampaikan amanat sempena lawatan kerja beliau ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disini hari ini.
Bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat. Oleh yang demikian, Perdana Menteri berharap agar warga KPDNHEP akan terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri, terutamanya berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa lancar dan dapat dirancakkan.
“Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan 6 hingga 7.5 peratus tahun ini. Pemulihan aktiviti domestik yang stabil, ditambah dengan peningkatan permintaan luaran, menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut,” tambahnya.
“Justeru, saya percaya bahawa saudara dan saudari mempunyai komitmen yang tinggi sebagai penjawat awam dalam membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dalam usaha untuk mengekang penularan wabak ini dan memastikan kelancaran aktiviti perekonomian. Ini termasuklah tugas saudara-saudari dalam memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan pengedaran, yang dapat dilihat terutamanya semasa tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula bulan Mac 2020,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kerana kementerian ini telah berjaya menangani situasi pembelian panik (panic buying) dan memastikan bekalan barangan keperluan asas, pelitup muka dan “hand sanitizer” adalah mencukupi sewaktu tempoh tersebut.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP