Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KERAJAAN PRIHATIN TIDAK KURANGKAN KUOTA MINYAK MASAK BERSUBSIDI UNTUK RAKYAT DI BAWAH SKIM PENSTABILAN MINYAK MASAK (COSS

OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

PUTRAJAYA, 13 APRIL 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ingin menjelaskan bahawa Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan termasuk tahun 2020 dan 2021 walaupun harga RBD Palm Olien telah meningkat sebanyak 83% kepada RM 4,122 per tan metrik pada tahun 2021 berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun 2020.

Ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah, dan Kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen Kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata sekiranya kenaikan harga RBD Palm Olien berterusan menunjukkan trend peningkatan, Kerajaan menjangka kos akan terus meningkat bagi skim ini, daripada RM 400 juta kepada RM1.8 billion. Keputusan Kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program COSS menunjukkan komitmen Kerajaan yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurutnya lagi, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pengauditan secara komprehesif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya. Susulan dari pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi, sebanyak 318 kes telah dihasilkan di seluruh negara melibatkan minyak masak sejak tahun 2016 sehingga Mac 2021. Malah, dalam tempoh tersebut, sebanyak empat buah syarikat pembungkus minyak masak telah diambil tindakan dengan membatalkan kuota yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini.

Berdasarkan rekod, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi dibawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan. Semakan rekod juga mendapati bahawa aduan berkaitan minyak masak di Wilayah Sarawak pada tahun 2020 sehingga 31 Mac 2021 ialah sebanyak 25 aduan. Selain itu, sejumlah 4,221 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga 12 April 2021, dan telah menghasilkan sejumlah 8 kes sepanjang tahun 2021 ini.

Dato Sri Alexander mengulas akan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Wilayah Sarawak sebagaimana dilaporkan di laman sesawang Borneo Post Online bertarikh 12 April 2021. Laporan tersebut telah menyatakan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti yang telah ditetapkan bagi edaran ke pasaraya dan kedai runcit.

Laporan tersebut juga mencadangkan supaya KPDNHEP mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti pembungkusan minyak masak bersubsidi seterusnya memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM400 juta pada tahun 2021 dibelanjakan dengan berhemah.

Laporan tersebut juga menyentuh kejayaan Kerajaan terdahulu dalam mengurangkan harga gula bertapis untuk kegunaan industri makanan dan minuman kepada RM1.70 dan RM1.80 per kilogram manakala Kerajaan sekarang didakwa kurang prihatin sehingga menyebabkan pihak industri makanan dan minuman perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gula bertapis pada harga RM2.75 per kilogram.

Bagi isu gula pula, Dato Sri Alexander pada dasarnya berkata, harga jualan gula domestik adalah dikawal pada harga maksimum iaitu sebanyak RM2.85/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95/kg bagi gula putih bertapis halus bagi jualan secara runcit. Manakala harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85/kg bagi gula putih bertapis halus. Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal serta bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan.

. “Dari segi kawalan ke atas kelulusan permit mengimport pula, pemantauan berterusan juga dilakukan terhadap penerima permit mengimport gula bertapis bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan permit mengimport gula bertapis,” tegasnya.

“Kementerian juga komited dalam memastikan setiap peraturan dan ketetapan yang dibuat adalah selaras dengan dasar dan peraturan yang sedang berkuat kuasa. Untuk itu, Kementerian juga mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan supaya semua pihak yang berkepentingan terutamanya rakyat mendapat manfaat yang berterusan,” ujarnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive