ALOR SETAR, 10 APRIL 2021 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini menyempurnakan Perasmian Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2021 dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan Di Pasar-Pasar Utama di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah.
Kempen ini adalah bagi menyahut seruan Kerajaan bagi memastikan semua sektor samada ekonomi, keselamatan mahupun sosial mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesedaran awam serta pematuhan norma baharu COVID-19 pada tahap yang tinggi.
Majlis Pelancaran ini adalah kesinambungan kepada Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan yang telah bermula di Pasar Payang, Kuala Terengganu dan Pasar Siti Khadijah pada 5 Mac 2021 lalu dan akan diteruskan di pasar-pasar terpilih iaitu Pasar Satok di Kuching, Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, dan Pasar Chowrasta di Georgetown.
Pemilihan pasar-pasar utama ini adalah kerana ia menjadi tumpuan pengguna terutama pelancong domestik. Pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak. Ia juga harus dijadikan amalan terbaik serta menjadi contoh kepada sektor-sektor lain dalam pematuhan SOP.
Menurut Dato Sri Alexander, KPDNHEP menyeru supaya kegiatan kepenggunaan dipelbagai peringkat dipertingkatkan dengan penglibatan PKP, Jawatankuasa Pengguna Daerah, Persatuan Pengguna Sekolah dan Gerakan Pengguna Siswa. Penglibatan dan peranan Organisasi Bukan Kerajaan dan Civil Society juga penting dan boleh memberi impak yang dihasratkan.
“Dimaklumkan terdapat 66,390 rakan pengguna di Negeri Kedah yang berdaftar dengan KPDNHEP, Kementerian berharap kewujudan mereka ini dapat digembleng secara berstruktur agar isu dan kepentingan pengguna khususnya di peringkat setempat dapat ditangani dan diatasi dengan berkesan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP