PUTRAJAYA, 1 APRIL 2021 – Tindakan operasi bersama pertama dilaksanakan di sebuah premis di sekitar Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu Halal serta penandaan M.C yang melibatkan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembungkusan dan pengedaran makanan ringan seperti biskut (chocolate cookies) yang disyaki memasukkan free gift berupa barang mainan bersama-sama ke dalam bungkusan/kotak makanan ringan tersebut dengan meletakkan logo halal dan M.C yang disyaki tidak mendapat kelulusan pada kotak produk.
Pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan bersama pihak JAKIM dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), kementerian Kesihatan Malaysia serta semakan yang telah dibuat ke atas beberapa dokumen yang berkenaan mendapati syarikat tidak mempunyai pensijilan halal yang sah dari JAKIM serta tidak mempunyai Certificate of Confirmation (C.O.C) bagi barang mainan (sebagai free gift) yang membolehkan syarikat ini meletakkan tanda M.C sebagai indikasi barang tersebut telah mematuhi standard keselamatan barang mainan yang ditetapkan pada kotak barang berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyita produk jualan dan dokumen syarikat tersebut. Sebanyak 1,700 unit barang mainan yang tidak mempunyai tanda pematuhan M.C turut disita. Jumlah keseluruhan nilai rampasan ialah RM 41,074.00. Terdapat empat unit mesin yang disyaki digunakan untuk tujuan pembungkusan turut dirampas dengan anggaran bernilai RM 21,000.00. Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 2011 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001
Dalam kenyataan medianya, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam berkata, KPDNHEP telah menjalankan tindakan operasi bersama dengan JAKIM dan BKKM, Kementerian Kesihatan Malaysia berasaskan aduan awam yang diterima berkenaan penggunaan perihal dagangan palsu Halal dan penandaan palsu Malaysian Conformity Mark (M.C) pada produk yang dibungkus oleh sebuah syarikat. Tindakan operasi tersebut dilaksanakan di dua lokasi berbeza.
“Operasi bersama kedua dilaksanakan di sebuah syarikat pengilang yang menjalankan perniagaan memproses produk makanan seperti kacang dan maruku. Pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan bersama pihak JAKIM dan BKKM. Semakan telah dibuat ke atas beberapa dokumen dan mendapati syarikat telah memperoleh pensijilan halal yang sah dari JAKIM (tamat tempoh pada 31 Oktober 2022 dan 15 Februari 2022).
“Walau bagaimanapun pihak JAKIM telah mengeluarkan empat notis ketidakakuran kepada premis berhubung Pengilangan Kontrak Original Equipment Manufacturer (OEM) dan kawalan halal dalaman. Pihak BKKM juga telah mengambil dua kes di bawah Akta Makanan 1983 berhubung penggunaan perkataan "Bahan Berperisa" yang tidak dilabelkan pada pembungkusan produk.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP