Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KPDNHEP MELALUI INISIATIF TAMBAHAN SSM LANJUTKAN INISIATIF PENGECUALIAN KOMPAUN SEHINGGA 31 DISEMBER 2021

KPDNHEP MELALUI INISIATIF TAMBAHAN SSM LANJUTKAN INISIATIF PENGECUALIAN KOMPAUN SEHINGGA 31 DISEMBER 2021

PUTRAJAYA, 1 APRIL  2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berasa teruja apabila YAB Perdana Menteri turut merangkumkan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah agensi di bawah KPDNHEP dalam agenda PEMERKASA bagi mengurangkan beban entiti perniagaan melalui Inisiatif Ke-9: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi dan juga Inisiatif Ke-18: Prihatin OKU.

Melalui Inisiatif Ke-9 juga, SSM bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan. Melalui Inisiatif Ke-9 ini juga, SSM memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Melalui Inisiatif Ke-18 pula, golongan OKU berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi  dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa bagi menyokong agenda PEMERKASA, KPDNHEP melalui SSM akan turut melanjutkan tarikh tamat inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, inisiatif ini adalah lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan mulai 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021. Inisiatif pengecualian  kompaun atas kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu pula mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2021 dan akan berakhir pada 30 Jun 2021.

 

“Pengecualian kompaun ini diperkenalkan bertujuan untuk membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ramai peniaga dan bakal peniaga terutamanya yang berada di luar bandar tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu yang akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun.

“Pelanjutan inisiatif pengecualian kompaun ini dijangka dapat memberi penjimatan sebanyak RM13.7 juta untuk dimanfaatkan oleh lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran pemulihan ekonomi, “ tambahnya. 

KPDNHEP berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti perniagaan meneruskan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai bakal peniaga menceburi bidang perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi domestik di Malaysia yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

KPDNHEP menyambut baik usaha Kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) seperti yang diumumkan  YAB Tan Sri Dato' Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Mac 2021 lalu dengan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu rakyat.

Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 20 inisiatif strategik dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion disediakan bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive