KOTA BHARU, 6 MAC 2021 – Bagi tujuan membendung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi di stesen minyak sempadan Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) memulakan langkah untuk melaksanakan peti dan buku log lawatan Penguat Kuasa KPDNHEP supaya ia memberi impak yang lebih berkesan dan berganda melalui kaedah omnipresence anggota pihak berkuasa.
KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang melibatkan produk bersubsidi termasuklah petrol dan diesel khususnya di stesen-stesen minyak sempadan Negara.
Satu majlis ringkas sempena pelaksanaan peti dan buku log lawatan Penguat kuasa KPDNHEP disempurna Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Stesen Minyak Petronas Pasir Pekan dekat sini hari ini.
Katanya, pengenalan kepada peti lawatan Penguat Kuasa KPDNHEP ini diinspirasi daripada pelaksanaan peti polis di premis-premis yang berisiko seperti bank, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam bagi mencegah serta mengurangkan berlakunya jenayah di kawasan-kawasan yang dikategorikan hotspot,
Pegawai-pegawai yang membuat pemantauan akan merekod laporan di dalam buku log sejurus pemeriksaan atau lawatan selesai untuk menunjukkan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak bahawa Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti-aktiviti perdagangan yang berlaku di stesen minyak.
“Langkah ini secara tidak langsung akan memberi mesej yang jelas kepada pelaku kesalahan untuk tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang. Harga runcit petrol dan diesel di Malaysia adalah antara yang terendah di ASEAN menyebabkan stesen-stesen minyak berhampiran sempadan Negara menjadi sasaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyelewengan petrol dan diesel,” tambahnya.
Sehingga November 2020, terdapat 281 buah stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan Negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP