Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PENGUATKUASAAN BARANG KAWALAN GAS MEMASAK / GAS PETROLEUM CECAIR (LPG)

PENGUATKUASAAN BARANG KAWALAN GAS MEMASAK

PUTRAJAYA, 3 MAC 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) konsisten dalam melaksanakan operasi berkaitan barang kawalan gas memasak/gas petroleum cecair (LPG) secara berterusan di seluruh Negara untuk memastikan peniaga mematuhi perundangan-perundangan khususnya harga jualan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Bagi tempoh 18 Feb 2020 hingga 1 Mac 2021, KPDNHEP telah menerima sejumlah 316 aduan dari pengguna berhubung aktiviti perniagaan barang kawalan LPG di seluruh Negara. Sehubungan itu, Kementerian telah mempertingkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas peniaga dan pemborong barang kawalan LPG.

  Menurut Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menyebut, sejumlah 60 kertas siasatan telah dibuka dan 43 kertas siasatan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kesalahan tiada tanda harga (35 kes) dan menjual melebihi harga kawalan (8 kes).

Tujuh kertas siasatan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kesalahan tiada lesen barang kawalan (7 kes), tidak kemaskini buku stok (4 kes), tidak perbaharui lesen (2 kes), memiliki melebihi had (1 kes), alih barang kawalan dari premis yang dilesenkan (1), menjual dan membeli barang kawalan kepada orang yang tidak punya lesen masing-masing dengan 1 kes. Sebanyak 1,000 premis diperiksa dengan menghasilkan jumlah sitaan sebanyak RM 35373.00 serta jumlah kompaun sebanyak RM 22,000.00

  Katanya, antara objektif utama operasi ini adalah bagi memastikan bekalan barang kawalan tersebut mencukupi di pasaran dan harga stabil sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan. Penguatkuasaan digerakkan ke seluruh Negara melalui pelbagai bentuk tindakan seperti melakukan pemeriksaan mengejut dan uji beli (test purchase) oleh Pegawai Penguatkuasa di premis yang diperiksa.

“Tujuan pemeriksaan ini bertujuan memastikan peniaga meletakkan tanda harga mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan pada barang kawalan LPG yang hendak dijual, memastikan peniaga menjual barang kawalan LPG mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan, memastikan peniaga menyata dengan jelas dalam meletakkan caj bagi perkhidmatan penghantaran barang kawalan LPG  kepada pengguna; dan lain-lain tindakan termasuk peniaga mempunyai lesen menjual barang kawalan LPG, menyimpan barang kawalan LPG mengikut had ditetapkan oleh Kerajaan dan menyelenggara buku stok,” tegasnya.  

Beliau berharap agar pengguna dapat menyalurkan maklumat aduan berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang termasuk berkaitan barang kawalan LPG secara rasmi melalui saluran aduan yang disediakan oleh pihak Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive