PUCHONG, 11 FEBRUARI 2021- Susulan kebenaran operasi sebahagian besar sektor peruncitan dan perdagangan termasuk aktiviti makan di restoran bermula hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ haji Rosol Wahid bersama pegawai kanan dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turun padang meninjau tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang ditetapkan kerajaan di IOI Mall Puchong, malam tadi.
Katanya, secara keseluruhannya, KPDNHEP berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP di kalangan peniaga dan berharap disiplin ini terus diperkemaskan bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19 terus berjaya.
Pada pemeriksaan ini mendapati tahap pematuhan SOP yang tinggi dapat dilihat apabila pelanggan yang datang ke pusat beli belah ini duduk berasingan mengikut had ditetapkan iaitu dua orang semeja walaupun datang dari sebuah keluarga, penjarakan sosial ketika beratur untuk memasuki premis dan membeli barang keperluan, pemakaian topeng pelitup muka, merekod kemasukan ke premis melalui aplikasi MySejahtera dan penggunaan cecair sanitasi tangan.
Pemain industri dan orang ramai dinasihatkan tidak alpa dengan kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko penularan kluster baharu COVID-19, yang sekaligus akan merencatkan dan menyukarkan usaha pemulihan ekonomi serta sektor perniagaan dan perdagangan domestik katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, usaha memerangi penularan COVID-19 akan berjaya dan kerajaan dapat memberi lebih banyak kelonggaran dalam merancakkan semula pertumbuhan sektor ekonomi dari semasa ke semasa,” ujarnya
Untuk rekod, mulai 8 Mei 2020 hingga 9 Februari 2021, penguat kuasa KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 361,454 premis di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 353,122 premis didapati patuh SOP, 7,614 premis diberi nasihat,584 premis diberi amaran dan 134 premis dikenakan kompaun.
Berdasarkan statistik berkenaan menunjukkan tahap pematuhan ke atas SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi sektor borong dan runcit berada pada tahap yang tinggi iaitu sejumlah 353,122 atau 97.69% daripada keseluruhan 361,454 jumlah premis yang diperiksa.
Antara premis-premis yang dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi, restoran, kedai aksesori kenderaan, kedai pakaian dan bengkel kenderaan.
Serentak dengan pembukaan sektor peruncitan baharu bermula hari ini, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melipatgandakan pemeriksaan di premis-premis tersebut untuk memastikan pematuhan peniaga ke atas SOP yang ditetapkan. Mereka juga akan memantau pelaksanaan 'dine-in' di restoran-restoran supaya SOP dipatuhi sepenuhnya.
Dengan kelonggaran diberikan kerajaan untuk membenarkan operasi lebih banyak sektor peruncitan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP serta selaras kuasa yang diberikan kepada penguat kuasa KPDNHEP di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), tindakan kompaun akan dikenakan kepada pemain industri dan pengguna yang didapati gagal mematuhi SOP.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP