Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PENGUMUMAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (SHMMP) TAHUN BARU CINA 2021

PENGUMUMAN SHMMP TAHUN BARU CINA 2021 min 1

PUTRAJAYA, 5 FEBRUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP) 2021 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 12 Februari 2021 diseluruh negara.

Dalam pengumumannya pagi tadi, Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi  berkata, selain itu, skim ini juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan. Tarikh kuat kuasa Skim ini adalah dari 8 hingga 16 Februari 2021.Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Tahun Baru Cina  adalah selama 9 hari iaitu selama empat  hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan. Ia akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengumuman yang disiarkan secara langusng melalui Fb Live KPDNHEP Laman Rasmi itu turut dihadiri Timbalannya, Dato’ Haji Rosol Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), Dr. Alauddin Sidal dan Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam.

 Menurut Dato Sri Alexander lagi, KPDNHEP telah mengenal pasti sebanyak 16 jenis barangan bagi pelaksanaan skim ini. Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.  

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan. Selain itu, terdapat juga harga yang ditentukan adalah lebih rendah dan kekal sepertimana pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang lalu,” ujarnya.

Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Dato Sri Alexander mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan sepanjang pelaksanaan skim ini bagi mengelakkan dari dikenakan kompaun atau denda mengikut akta-akta yang ditetapkan. Pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian ini akan menjalankan pemeriksaan disepanjang skim ini berlangsung bagi memastikan peniaga sentiasa beretika demi kesejahteraan diantara mereka dan pengguna.

“Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.  Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” tegasnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive