Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

HARGA SUDAH MULA TURUN

kpdnhepperiksapematuhan

KUALA LANGAT, 22 JANUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan pemantauan di peringkat pembekalan barang-barang keperluan di pasaran melalui penguatkuasaan OPS PASAR 2021 (sayur-sayuran) mulai 12 Januari 2021.

Sehingga 21 Januari 2021, sebanyak 320 premis peruncit dan pembekal telah diperiksa yang melibatkan 904 barangan yang terdiri daripada lima sayur-sayuran utama seperti tomato, cili merah minyak, cili merah kulai, lobak dan kubis bulat. Sebanyak 337 notis bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aduan dan dakwaan kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Kementerian turut menyiasat aduan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran dan mendapati memang berlaku sedikit peningkatan disebabkan oleh perubahan musim yang melanda negara kita dan faktor perubahan cuaca yang terlampau sejuk di daerah tanah tinggi pengeluar bekalan utama sayur-sayuran seperti di Cameron Highland. Keadaan cuaca ini telah menyebabkan kualiti dan kuantiti sayur-sayuran berkurangan.

Bercakap selepas melakukan lawatan mengejut pada 22 Januari 2021 ke Pusat Pengumpulan Sayur (jenis tanaman Cili Merah) bertempat di Telok Panglima Garang, disini, Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, lawatan itu adalah untuk meninjau situasi sebenar bekalan di lapangan dan rantaian pengedaran bekalan cili yang mana cili adalah antara jenis sayur-sayuran yang didakwa menunjukkan kenaikan harga di pasaran.

“Kementerian mendapati harga cili termasuk cili merah kulai, cili merah minyak dan cili akar telah mula menunjukkan penurunan. Sebagai contoh, harga purata cili merah kulai pada bulan Disember 2020 adalah pada paras RM23/kilogram. Pada minggu ini, harga purata cili merah kulai telah menurun kepada RM19/kg iaitu penurunan 17%,” ujar melalui satu kenyataan medianya.

Terdapat beberapa jenis cili yang ada di pasaran iaitu Cili Mardi, Cili Merah Minyak, Cili Sime Darby, Cili Kulai dan Cili Import.
Beliau bersama-sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad serta pegawai kanan Kementerian dari Ibu Pejabat Putrajaya dan Negeri Selangor telah turun padang mengadakan tinjauan ini.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive