Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

TUAN AZMAN ADAM DILANTIK PENGARAH PENGUAT KUASA KPDNHEP

tuanazmanadam

PUTRAJAYA, 14 JANUARI 2021 – Timbalan Pengarah ( Pencegahan ) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa (KPDNHEP) yang baharu berkuatkuasa 5 Januari 2021.

Azman yang dilahirkan pada 16 Januari 1971 di Negeri Terengganu Darul Iman, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tengku Lela Segara, Marang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat  Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred N27 sehingga tahun 2000. Pernah diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak dan seterusnya bertugas di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada tahun 2004 di atas kenaikan pangkat.

Pengalaman beliau di dalam bidang penguatkuasa amat luas memikul pelbagai tanggungjawab  di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah ( Pencegahan ). Beliau memiliki pengalaman yang luas lagi holistik dan mempunyai daya kepimpinan yang terbukti terutamanya dalam bidang penguatkuasaan.

Dalam bidang kemasyarakatan, beliau pernah diberikan peranan yang penting di dalam beberapa portfolio di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan di peringkat kementerian.

Pelbagai pengiktirafan telah beliau terima antaranya anugerah Sijil Penghargaan (TSSC) oleh DYMM Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNKSH. Beliau turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu.

Di sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima sebanyak lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNKSH pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.

Dalam kenyataan medianya, Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berjanji akan memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada  Azman untuk menggalas amanah dan jawatan yang baharu ini. Beliau yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi Kementerian dalam keadaan penuh siap siaga dan upaya menyelia pematuhan perundangan di bawah Kementerian dalam kalangan peniaga dan prihatin melindungi kepentingan pengguna.

Majlis penyempurnaan pemakaian pangkat Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP kepada Azman diadakan secara tertutup dan hanya melibatkan Pengurusan Tertinggi Kementerian dalam kapasiti terhad serta terkawal dengan pematuhan SOP yang diselia rapi hari ini.

“Saya mengajak seluruh warga Kementerian dan pihak media untuk sama-sama mengucapkan tahniah kepada beliau di hari yang bersejarah ini dan memberikan sepenuh sokongan agar beliau  terus berjaya memimpin Bahagian Penguat Kuasa melaksanakan peranan dan tugas dengan penuh integriti, mesra, pantas, cekap dan efektif demi tradisi kegemilangan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive