PUTRAJAYA, 12 JANUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021 untuk perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh bermula 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021 melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.
KPDNHEP sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini akan sentiasa memastikan rangkaian peruncitan, pengedaran dan pemborongan yang merupakan nadi kepada ekonomi domestik tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia mendapatkan bekalan barangan keperluan asas di pasaran.
Dalam mengimbangi kelangsungan perkembangan ekonomi dalam negeri, salah satu daripada lima sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi adalah sektor perdagangan dan pengedaran yang merupakan salah satu sektor di bawah kawal selia KPDNHEP.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi memastikan tiada sebarang halangan atau sekatan pergerakan sepanjang tempoh PKP syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi ini perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran.
“Syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran dengan mengakses portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), MITI melalui pautan https://notification.miti.gov.my/.,” ujarnya.
Syarikat-syarikat sektor perdagangan dan pengedaran yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian melalui pautan pautan https://notification.miti.gov.my/ dan surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.
Pihak KPDNHEP juga ingin mengingatkan agar pihak syarikat yang dibenarkan beroperasi turut memastikan hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat dan pekerja dalam kumpulan sokongan/operasi akan ditentukan oleh majikan masing-masing serta memastikan pematuhan SOP yang ketat.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa,” tambahnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP