Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PROGRAM FOOD BANK SISWA MELEBARKAN SAYAPNYA DI UITM CAWANGAN SARAWAK

program food bank siswa melebarkan sayapnya di uitm cawangan sarawak original

KOTA SAMARAHAN, 2 November 2022 – Program Food Bank Siswa telah melebarkan sayap dengan rasminya di UITM Cawangan Sarawak di mana pelaksanaannya meliputi Food Pantry yang akan membantu siswa B40 dalam mendapatkan bantuan makanan. Program Food Bank Siswa di UITM Cawangan Sarawak setakat ini telah menyantuni 831 pelajar B40 pelbagai bidang yang membolehkan mereka memberikan tumpuan terhadap pembelajaran mereka. 

Untuk makluman, Program Food Bank Siswa kelolaan Sekretariat Food Bank Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah digerakkan semenjak Februari 2019. Ianya merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Food Bank Malaysia (PFBM) di mana bantuan turut  disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk golongan B40 terpilih dan mangsa bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Salah satu keistimewaan Program Food Bank Siswa ialah kejayaan memupuk semangat kesukarelawan dalam kerja-kerja kebajikan tanpa mengharap balasan. Sukarelawan pelajar mencurahkan bakti tenaga mereka secara sukarela untuk menguruskan Food Pantry, membahagikan bahan makanan, barang-barang keperluan diri dan peralatan pembelajaran kepada siswa berkenaan secara teratur dan mengawal inventori supaya bekalan tidak terputus.

Selain itu, kejayaan Food Bank Siswa UITM Cawangan Sarawak ini ditunjangi oleh rakan-rakan strategik seperti Everrise dan Econsave yang sudi menghulurkan bantuan dalam bentuk keperluan siswa. KPDNHEP sangat mengalu-alukan sumbangan badan korporat, pemain industri sektor pemborongan, peruncitan dan katering serta orang perseorangan untuk menjadi rakan strategik Program Food Bank dalam membantu golongan yang memerlukan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam meringankan bebanan kos sara hidup golongan B40.

Pihak Kementerian turut melaksanakan Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort yang melibatkan industri perhotelan, katering dan pengeluar makanan berasaskan pertanian. Sehingga kini, sebanyak dua belas (12) mesin retort telah beroperasi di sepuluh (10) lokasi terpilih dan telah berjaya menghasilkan lebih daripada 3000 pek makanan untuk diagihkan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive