Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PREMIS DISYAKI TEMPAT MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU PENGUAT KUASA KPDNHEP

PUTRAJAYA, 12 Oktober 2022 – Aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi telah berjaya ditumpaskan oleh Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah premis tanpa nombor di Taman Industri Selesa Jaya, Selangor.

Menurut Tuan Azman Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, serbuan yang telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya itu hasil daripada risikan yang telah dilakukan beberapa hari sebelum serbuan. Semasa pemeriksaan, seorang lelaki warga tempatan lingkungan 30 an bersama seorang lelaki bukan warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan. 

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 9,000-liter bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti terbabit. Premis juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada KPDNKSH berhubung berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambahnya lagi, pasukan serbuan telah bertindak dengan menyita sejumlah 9,000-liter minyak diesel, sebuah lori, peralatan penyambungan dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 99,350.00.

KPDNKSH ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak diesel agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh di ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta).

Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Orang ramai disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive