LANGKAWI, 5 Oktober 2022 – Telah berlangsung ASEAN Consultative Committee for Standards and Quality Working Group on Legal Metrology (ACCSQ-WGLM). ACCSQ-WGLM yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ini merupakan Kumpulan Kerja bagi bidang Legal Metrology di peringkat negara-negara ASEAN. Malaysia diwakili oleh Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (MSPK) - SIRIM.
Menurut Datuk Azman, Objektif utama mesyuarat ACCSQ-WG3 adalah untuk membincang dan mengharmonisasikan perundangan Legal Metrology di kalangan negara ASEAN bagi mengelak halangan teknikal perdagangan (technical barrier to trade). Seterusnya, mesyuarat juga merupakan platform bagi mengenal pasti bidang kerjasama dan penyelarasan aktiviti-aktiviti Legal Metrology di kalangan negara ASEAN.Antara perundangan atau garis panduan Legal Metrology yang telah diharmonisasikan di kalangan negara ASEAN adalah seperti berikut :
- Concept Note Guideline for The Verification of Flowmeters;
- Harmonization of Legal Metrology Legislation and Administration, Harmonization of Requirements for Prepackaged Goods; dan
- Guidelines for Verification of Non-Automatic Weighing Instruments (NAWI).
Mesyuarat ACCSQ-WG3 ini turut dihadiri oleh delegasi-delegasi dari sepuluh (10) buah negara ASEAN iaitu Negara Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam serta wakil dari Sekretariat ASEAN dan Physikalish-Technische Bundesanstalt (PTB- Germany).
Penglibatan aktif Malaysia dalam ACCSQ dan Jawatankuasa Kumpulan Kerja menunjukkan sokongan dan komitmen Malaysia untuk menjayakan integrasi 11 sektor keutamaan ASEAN bagi merealisasikan ASEAN Economic Community (AEC) yang telah dipersetujui sejak tahun 2015.
Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP akan menguatkuasakan satu perundangan baharu iaitu Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Barang Barang Tersedia Bungkus) mulai tahun 2023. Perintah tersebut telahpun di peringkat akhir untuk diwartakan.
Perintah ini akan mengawalselia semua produk-produk dan barang-barang yang dibungkus di peringkat pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong terutamanya dari segi pelabelan dan ukuran bersih sama ada dari segi bilangan, berat, isipadu, panjang dan luas.
Penguatkuasaan perintah ini akan menggantikan sistem Minimum Quantity System (MQS) kepada sistem Average Quantity System (AQS) di Malaysia seperti yang telah diamalkan di kebanyakan negara-negara ASEAN.
Bagi persediaan awal Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP untuk menguatkuasakan perintah ini pada tahun 2023, Kementerian akan membelanjakan sebanyak hampir RM15 juta bagi tahun 2022 dan 2023 untuk perolehan dan pembekalan tambahan standard-standard kerja sedia ada dan juga standard kerja barang tersedia bungkus bagi tujuan untuk penguatkuasaan dan pengujian terhadap sampel barang- barang tersedia bungkus di pasaran kelak. Perolehan ini adalah melibatkan pembekalan standard-standard kerja di seluruh pejabat KPDNHEP negeri dan cawangan di seluruh negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat