Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MAJLIS SERAHAN DOKUMEN BLUEPRINT DAN BENGKEL CHANGE MANAGEMENT

BANGI, 29 SEPTEMBER 2022, KHAMIS- Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), YBhg Datuk Azman bin Mohd Yusof, hari ini mewakili Kementerian menerima serahan dokumen KPDNHEP Digital oleh Syarikat Perunding UPUM Sdn. Bhd menerusi projek “Kajian Penyediaan Blueprint Pendigitalan Perkhidmatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Secara End-to-End dan Big Data di Bangi Resort Hotel dan program ini dilaksanakan bermula 15 Ogos 2021 dan akan tamat pada 14 Oktober 2022.

Blueprint Pendigitalan dibangunkan bertujuan sebagai panduan bagi memacu ke arah transformasi digital KPDNHEP. Ini adalah demi memastikan KPDNHEP, terus mengorak langkah menjadi Kementerian Premier Negara dan memastikan visi KPDNHEP iaitu ‘Perdagangan dalam negeri yang progresif, mampan’ tercapai.

Menurut Datuk Azman, KPDNHEP Digital ini dibangunkan bagi mengenal pasti proses-proses kerja manual dan hybrid yang berpotensi untuk ditransformasikan supaya bersifat digital secara holistik. Blueprint  ini memuatkan cadangan-cadangan pendigitalan yang berasaskan kepada tiga (3) gelombang seperti berikut:

  • Gelombang pertama adalah “Keutamaan Digital” (Digital First) yang menekankan agar sebarang maklumat yang berkaitan dengan proses kerja adalah digital.
  • Gelombang kedua pula adalah “Operasi Digital” (Digital Operation) yang mengutamakan penggunaan maklumat secara digital dan teknologi untuk memudahkan proses kerja yang lengkap dan meningkatkan fungsi perkhidmatan kepada rakyat.
  • Gelombang ketiga, “Ekosistem Digital” (Digital Ecosystem) adalah untuk memastikan agar kesemua perkhidmatan KPDNHEP adalah bersifat End-to-End (E2E).

Majlis penyerahan hari ini dijangka dapat membantu KPDNHEP mengorak langkah yang tersusun dalam proses digitalisasi seterusnya meningkatkan keupayaan dan mutu perkhidmatan KPDNHEP dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive