BERA, 27 OGOS 2022, SABTU- YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut merasmikan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) yang diadakan di sebelah Dataran Kerayong, Bera, Pahang .
Untuk pengetahuan, Program Jualan Keluarga Malaysia telah dijenamakan semula kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dan diperluaskan ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan dengan menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian yang lebih murah sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat.
Kerajaan berharap JMKM yang dijenamakan semula ini akan dapat memastikan harga barangan keperluan di seluruh negara dapat kekal stabil dan membantu golongan yang kurang berkemampuan. Bagi memastikan JMKM dapat mencapai hasrat tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta melalui lima kementerian sebagai agensi pelaksana bagi menjayakan JMKM sehingga hujung tahun ini.
Kementerian-kementerian tersebut terdiri dari KPDNHEP yang menyelia JMKM bagi negeri Johor, Sarawak dan Terengganu, manakala Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyelia JMKM bagi negeri Kelantan, Melaka dan Sabah. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menyelia negeri Pahang, Perak dan Selangor; Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyelia negeri-negeri Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Pulau Pinang sementara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menyelia WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pula akan menyelaras segala promosi JMKM di media mahupun di lapangan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat