KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2022 – Program Consumer Fun Ride (PCFR) dan Program Jualan Keluarga Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PJKM WPKL) anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL), Selangor & F.T. Motorcycles & Scooter Dealers Association (SFTMSDA), AEON BiG dan AEON Credit sempena bulan Kebangsaan 2022 yang diadakan 13 Ogos 2022 sehingga 14 Ogos 2022 pastinya merancakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program PCFR melibatkan pelepasan konvoi bermotosikal dari Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi, 13 Ogos 2022 (Sabtu) oleh YB Dato’ Haji Kamaruddin bin Jaafar, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bersama YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDNHEP dan pengurusan tertinggi SFTMSDA. Konvoi bermotosikal ini dijangka akan mengambil masa satu (1) jam sebelum menamatkan perjalanan di AEON BiG Danau Kota. Peserta konvoi bermotosikal (kira-kira 300 peserta) ini diberi sarapan, T-Shirt eksklusif dan bendara Malaysia sebelum pelepasan.
Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Sempena Sambutan Hari Kermerdekaan pada tahun 2022. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 13 Ogos 2022 (Sabtu) di AEON BiG, Danau Kota bersama tetamu kehormat menandakan bermulanya PJKM WPKL bulan Kebangsaan 2022 yang akan berlansung selama dua hari iaitu 13 Ogos 2022 dan 14 Ogos 2022 bersama Program Consumer Fun Ride.
PJKM WPKL pada kali ini merupakan anjuran bersama KPDNHEP WPKL dengan AEON BiG, Danau Kota dengan kerjasama dari empat belas (14) pemain industri utama di WP Kuala Lumpur. PJKM WPKL kali ini akan menawarkan barangan seperti ayam, sayur-sayuran, makanan laut dan lain-lain barangan keperluan asas dan harian seperti gula, tepung, beras, minyak masak, barang makanan proses, dan lainlain dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Selain itu, KPDNHEP WPKL mengalu-alukan agar lebih banyak pasar raya menyahut dan menyokong usaha Kerajaan dengan menyertai Program Jualan Keluarga Malaysia yang akan datang yang bakal akan diambil oleh Kementerian Willayah Persekutuan. Inisiatif ini juga akan diperluaskan lagi secara berperingkat supaya manfaat dapat dinikmati oleh setiap peringkat Keluarga Malaysia di bandar dan di luar bandar.
Kedua-dua program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran pengguna dan juga membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia, di samping menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak.
KPDNHEP mengingatkan agar rakyat supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna, manakala peniaga pula haruslah mengamalkan sikap beretika dalam menjalankan perniagaan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat