Putrajaya, 24 Mei 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik saranan dan solusi yang telah dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu bekalan dan harga ayam.
Melalui mesyuarat Kabinet yang telah diadakan, Kerajaan telah bersetuju untuk mengambil beberapa tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah dan isu barangan, kepenggunaan dan harga barang yang telah memberikan kesan kepada Keluarga Malaysia.
Menurut Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, KPDNHEP bersedia bekerjasama dengan mana-mana Kementerian dan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari dan melaksanakan tindakan penyelesaian bagi merealisasikan saranan yang telah dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri. Ini termasuklah mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga.
Tambahnya lagi, mengenai laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam, berdasarkan punca kuasa yang telah diperuntukkan kepada pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melalui Akta Persaingan 2010, pihak MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari 2022 untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau/dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam. Dalam hal ini, pihak MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.
Sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas yang kuat, maka pihak MyCC dijangka mengeluarkan Keputusan Cadangan, di bawah Seksyen 36 Akta yang sama. Kemudiannya, pihak yang disiasat itu akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum Suruhanjaya membuat keputusan muktamad.
Berkaitan Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana individu dan syarikat yang menyorok, menyimpan atau melakukan unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa memberi jaminan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud elemen-elemen perlanggaran terhadap akta ini di semua rantaian bekalan dan peruncitan.
Semua peniaga dipohon untuk memberikan kerjasama dan sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap melalui saluran rasmi Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat