Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KPDNHEP KE KOMPLEKS IMIGRESEN, KASTAM DAN KUARANTIN (ICQ)

lawatan kerja ketua setiausaha kpdnhep ke ke kompleks imigresen kastam dan kuarantin icq

KANGAR, 15 Mei 2022 – YBhg. Tuan Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, Perlis.

Lawatan kerja ini diadakan adalah bagi melihat sendiri situasi semasa di pintu sempadan Negara khususnya di sempadan Padang Besar ini serta mengeratkan kerjasama pihak KPDNHEP bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di ICQ Padang Besar khususnya pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Perlis terutamanya dari aspek perdagangan berikutan pembukaan semula  sempadan Negara bermula 1 April 2022.

Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan isu aktiviti penyelewengan/penyeludupan barang kawalan bersubsidi melalui pintu sempadan Malaysia – Thailand menerusi sempadan Padang Besar khususnya melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi seperti Gas Petroleum Cecair (LPG), Minyak Masak, bahan api Petrol dan Diesel, Gula dan Tepung Gandum. 

Penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian oleh pihak Kementerian. 

Bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 714 kes telah dihasilkan melibatkan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 6.60 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 250 kes telah dihasilkan hasil kerjasama Kementerian dengan agensi penguatkuasaan di sempadan, melibatkan aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di pintu-pintu sempadan Negara di bawah  Akta yang sama di seluruh Negara melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 5.18 juta. 

Manakala bagi tahun 2022 bermula 1 Januari sehingga April 2022, sebanyak 94 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di pintupintu sempadan Negara yang dihasilkan oleh pihak KPDNKSH bersama agensi penguatkuasaan lain di seluruh Negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 7.88 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya yang berlaku di pintu-pintu sempadan Negara kerana ianya boleh memberikan impak negatif dan kerugian yang besar kepada Negara.

Pihak KPDNHEP ingin memberikan peringatan kepada para peniaga agar lebih bertanggungjawab apabila berurus niaga dengan barangan kawalan dan bersubsidi ini serta amaran keras kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barang kawalan ini bagi mengelakkan daripada dikenakan hukuman berat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan/penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive