PUTRAJAYA, 9 Mei 2022 – Susulan aduan orang ramai berhubung isu bekalan petrol RON 95 yang terjejas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil maklum. Pihak KPDNHEP telah menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa di jalan raya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ekoran proses peralihan Negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan.
Menurut Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bagi memmastikan bahan api kenderaan sentiasa mencukupi di stesen minyak, KPDNHEP telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Kementerian juga telah mengambil langkah sewajarnya dengan membenarkan semua stesen minyak di seluruh Negara untuk menambah had kuantiti simpanan terutamanya bagi petrol RON 95 bagi memastikan bekalan petrol RON 95 mencukupi musim perayaan ini.
Berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyatakan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG. Justeru, setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing.
Menurutnya juga, faktor yang telah dikenalpasti berlakunya kekurangan bekalan petrol RON 95 adalah peningkatan mendadak jumlah kenderaan yang menyumbang kepada meningkatnya permintaan petrol RON 95 di seluruh Negara. Selain itu, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga menyumbang kepada berlakunya isu ini selain kapasiti tangki simpanan di stesen-stesen minyak tertentu tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.
Pihak Kementerian telah mengambil dua langkah penyelesaian jangka pendek dengan melaksanakan tindakan seperti mendapatkan kerjasama daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal-kapal minyak;dan pemantauan berterusan pihak KPDNHEP supaya tidak berlaku penyelewengan ke atas bekalan bahan api kenderaan terutamanya petrol RON 95.
Tambahnya lagi, kementerian ingin menyarankan orang ramai supaya buat sementara waktu ini untuk beralih kepada jenama minyak syarikat lain yang berhampiran berbanding jenama minyak syarikat tertentu yang menjadi kebiasaan digunakan oleh pengguna kerana bukan semua stesen minyak menghadapi masalah bekalan terputus ini.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang aduan berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNKSH melalui saluran aduan rasmi Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat