PUTRAJAYA, 21 April 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 yang akan berkuatkuasa pada 26 April sehingga 6 Mei 2022 iaitu tujuh (7) hari sebelum, semasa dan tiga (3) hari selepas perayaan. Ini merupakan satu usahada dari pihak Kementerian dalam memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) ketika ini.
Menurut Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sebanyak 22 jenis barangan akan ditetapkan harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.
Pihak Kementerian juga telah melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari 2022 dan sedang berkuatkuasa sehingga 5 Jun 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 adalah melibatkan 28 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering, sayuran dan daging.
Berikut merupakan senarai harga barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (HRP) 2022 adalah seperti berikut:
-
- Daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang)
- Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja)
- Daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan sahaja)
- Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram)
- Ikan selayang (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram)
- Ikan aya/tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kilogram)
- Ikan Demudok/ Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja)
- Tomato
- Cili Merah
- Kubis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing)
- Kacang Panjang
- Terung Panjang
- Timun
- Halia Tua Import
- Bawang Merah Besar Import
- Bawang Besar Holland
- Bawang putih (China)
- Ubi Kentang Import (China)
- Cili Kering
- Kacang Tanah
- Kelapa Biji (Borong sahaja)
- Kelapa Parut (Runcit sahaja)
Senarai harga barangan harga terkawal bagi PENENTUAN HARGA AYAM DAN TELUR AYAM adalah seperti berikut:
-
- Ayam hidup
- Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
- Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
- Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
- Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
- Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga daripada Negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
Tambahnya lagi, anggota Penguat Kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.
Tegasnya juga tindakan akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran rasmi Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP
(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)