SEREMBAN, 13 April 2022 – Satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi telah berjaya ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Pekan Teluk Kemang, Negeri Sembilan yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Menurut, Tuan Shamsul Nizam bin Khalil, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) memaklumkan bahawa serbuan telah dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya melalui hasil risikan yang telah dibuat sejak beberapa minggu lalu. Ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak di dalam tangki simpanan dan mendapati bahawa pemandu lori terbabit sedang membuat pengisian minyak sebanyak RM 500.00 bersamaan kira-kira 232 liter.
Hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori tersebut disyaki telah melakukan pengisian sebanyak dua (2) kali dengan jumlah sebanyak RM500.00 bagi setiap transaksi. Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati sebuah compartment tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 370 liter.
Angota Penguat Kuasa KPDNHEP telah menyita minyak diesel, lori tangki, dua (2) unit telefon bimbit, satu set dekoder CCTV dan invois/resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan bagi tujuan sisalan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 27,795.50. Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemandu lori juga ditahan bagi membantu siasatan.
Tuan Shamsul Nizam juga memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.
KPDNHEP juga membrikan amaran keras terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak khususnya ke atas 24 stesen minyak di kawasan Port Dickson agar mematuhi perundangan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Tambahnya lagi, Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.
Syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat