19 Mac 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) di Pulau Pangkor, Perak.
ReDI di negeri Perak merupakan kesinambungan usaha KPDNHEP bersama Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan strategik daripada penyedia e-wallet iaitu Maybank, Touch n Go, GrabPay, Paynett, Boost dan ShopeePay. Ini bagi menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiringan dengan perkembangan digitalisasi terutama teknologi transaksi pembayaran secara digital serta memastikan setiap transaksi dilaksanakan dalam keadaan selamat samada dari segi kesihatan (norma baharu) dan proses kewangannya.
Majlis yang disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan bahawa ini adalah sebahagian daripada rangka kerja ReDI yang akan dilaksanakan di seluruh negara. Tumpuan utama Kementerian pada ketika ini adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil supaya mengadaptasi gelombang digitalisasi serta mengguna pakai e-wallet terutamanya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, sejak awal lagi, pihak Kementerian berpandangan bahawa semua peniaga termasuk mikro dan kecil perlu dibantu dalam dunia digitalisasi perniagaan sekurang-kurangnya melalui penggunaan e-wallet dan e-dagang bagi memastikan golongan ini tidak tercicir
Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI di Pangkor ini juga, Kementerian menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) sedang melaksanakan satu program insentif baru untuk menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai dalam usaha menjadikan Pangkor sebagai Pulau Digital Tanpa Tunai. Program Insentif Norma Baharu 2022 ini akan melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10 ribu di mana pemberian RM20 kepada 500 orang pengguna boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet terpilih.
Kementerian juga meneruskan perluasan Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Jeti Pulau Pangkor. Di antara langkah yang akan digunakan dalam kempen ini ialah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar Digital. Sistem ini adalah salah satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat