16 Mac 2022 - Julung-julung kalinya negara kita menyambut Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 (BPK) setelah Jemaah Menteri pada mesyuarat dalam Bulan Disember 2021 bersetuju mengisytiharkan bahawa Bulan Mac setiap tahun adalah Bulan Pengguna Kebangsaan. Tanggal 15hb. Mac adalah Hari Hak-Hak Pengguna Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers International yang beribu pejabat di London.
Menurut Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengsiytiharan itu merupakan satu pengiktirafan dan komitmen Kerajaan bahawa Pengguna di Malaysia merupakan satu entiti yang terpenting di mana hak-hak mereka harus dirakyatkan dan dilindungi seperti juga hak-hak yang lain seperti Wanita dan Ibu yang dirayakan setiap tahun.
Justeru KPDNHEP mengajak semua pihak terutama NGO-NGO Pengguna, Persatuan Pengguna peringkat Universiti dan Kolej dan masyarakat pengguna untuk merancakkan advokasi dan pendidikan berkenaan hak-hak pengguna serta saluran-saluran aduan dan tindakan untuk melindungi hak-hak mereka dari tipu daya dan scam peniaga yang tidak beretika. KPDNHEP juga menyeru supaya taktik dan teknik penyampaian advokasi itu di pelbagaikan bersesuaian dengan teknologi masa kini dan kehendak semasa agar ianya berkesan.
Salah satu medium baru yang diambil oleh KPDNHEP adalah advokasi melalaui pengangkutan awam. Pelaksanaan ini dibuat melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, Mass Rapid Transit atau MRT. Perkhidmatan MRT ini dipilih kerana ia mempunyai sebahagian besar pengguna khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan harian dan merupakan model pengangkutan awam masa depan yang menyerapkan elemen digitalisasi secara meluas.
Tambahnya lagi, kerjasama ini dilihat bersesuaian dan mampu memberikan impak positif kerana capaian kepada pengguna yang dimiliki oleh MRT dengan purata 62,000 penumpang sehari di mana pengguna akan menghabiskan sebahagian masa mereka berada di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing setiap hari.
Selain itu, tema yang dipilih bagi Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day pada tahun ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers International ialah ‘Fair Digital Finance’ yang menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital. Berteraskan tema ini juga, DIGITALISASI PENGGUNA dipilih sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna di Malaysia ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat