KAPIT, SARAWAK, 22 JANUARI 2022 – Pejabat KPDNHEP Sarawak dan Cawangan Kapit dengan kerjasama Pasaraya i-Mart telah mengadakan mengadakan PJKM Parlimen Kapit selama dua hari dari 22-23 Januari 2022. Ini merupakan susulan daripada sambutan pengguna dan peniaga yang amat menggalakkan di peringkat pertama pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di seluruh Malaysia sejak ianya dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2hb Disember 2021 yang lalu.
Menurut YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri PDNHEP, sehingga 16 Januari 2022, seramai 607,366 pengunjung telah menghadiri PJKM di 394 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatitkan berjumlah lebih dari RM12.070 juta. Maklumbalas Pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan telah meningkat.
PJKM kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar dan pada hujung minggu ini rakyat Kapit, Sarawak turut sama menikmati barang-barang keperluan yang ditawarkan dengan harga sehingga 20% lebih murah daripada harga pasaran setempat.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya Ayam, Ikan, Telur, Sayur-sayuran, Minyak masak, Gula, Tepung, Beras; dan Barangan Keperluan Rumah terpilih.
Tambahnya lagi, KPDNHEP menggalakkan orang ramai di sekitar DUN dalam Parlimen Kapit termasuk Bukit Goram, Katibas dan Pelagus untuk merebut peluang dua hari ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan.
Selain itu, peniaga diingatkan agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara.
Akhir sekali, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran. Pengguna juga boleh menyalurkan pertanyaan dan aduan di saluran aduan rasmi KPDNHEP.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat
(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)