Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PELAKSANAAN STOK PENIMBAL GULA PUTIH BERTAPIS OLEH PENGILANG GULA TEMPATAN

PUTRAJAYA, 14 Januari 2022 -  Bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis oleh dua buah kilang memproses gula iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) bermula 1 Januari 2022.

Menurut YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri PDNHEP, keputusan ini dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula beberapa kali kebelakangan ini ekoran daripada pelbagai faktor.

Sehingga kini laporan mingguan pengeluaran gula yang diterima daripada empat buah kilang gula tersebut menunjukkan trend pengeluaran gula yang sama, tetapi sebagai langkah proaktif, KPDNHEP telah merangka strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas.

Tambahnya lagi, ini merupakan langkah berjaga-jaga dan dalam usaha memastikan supaya bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi, KPDNHEP telah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama bagi membincangkan dan mencari solusi yang boleh diambil untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku lagi di masa hadapan.

Selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000MT bagi gula putih bertapis pada setiap masa dan hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan.

Mekanisme kawalan stok penimbal pula adalah seperti berikut:

a)         Kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung (floating stocks) pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.

b)         Pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan pelaporan  yang dikemukakan oleh pengilang bagi memastikan kuantiti stockpile sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

c)         Kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama atau denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Akhir sekali, pelaksanaan stok simpanan (stockpile) gula putih bertapis oleh pengilang gula tempatan dijangka dapat membantu untuk mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku di masa akan datang dan sekali gus dapat mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive