PUTRAJAYA, 5 Januari 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong komitmen Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai bantuan terus kepada pengguna, komuniti perniagaan dan industri sejak September 2021.
Sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas dengan banjir, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga, PERODUA dan PROTON menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50% ke atas alat ganti serta bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah.
Bagi kerosakan serius pula, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.
KPDNKSH melalui Skuad Sukarelawan Banjir (SSB-KPDNHEP) dan FoodBank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian telah turut serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri yang terjejas. Sehingga kini, SSB-KPDNKSH telah membantu seramai 171 keluarga yang terlibat di dalam bencana banjir. Sejumlah RM344,200.00 dalam bentuk barangan sedia dimakan telah disalurkan kepada Ketua Isi Rumah oleh FoodBank Malaysia.
Tahun 2021 telah mencatatkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan sebanyak 5.4% kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021. Ini menunjukkan sektor yang dikawal selia oleh KPDNHEP tetap mencatatkan perkembangan yang positif walaupun negara masih bertungkus-lumus menangani isu Covid-19.
Selain itu, Kementerian telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sedang dilaksanakan oleh KPDNHEP dan agensi kerajaan yang lain diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup Keluarga Malaysia. Turut diperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan bermula pada 7 Disember 2021.
Kesemua inisiatif yang telah dilaksanakan itu di samping pemeriksaan yang berterusan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP adalah usaha berterusan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Usaha ini akan dilanjutkan dengan pelbagai program bersifat rakyat-centric yang akan dilaksanakan dalam tahun 2022.
Tugas penguatkuasaan turut giat dijalankan oleh KPDNKSH melalui OPS Cakna, OPS Pasar dan OPS Menu dalam memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas insiden banjir yang melanda negara baru-baru ini. Kementerian juga akan meneruskan libat urus bersama industri untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pasca covid-19.
KPDNHEP yakin 2022 akan melonjakkan semula semua sektor ekonomi sektor perdagangan dan pengedaran domestik. Kementerian juga ingin mengingatkan supaya rakyat dan semua premis-premis perdagangan domestik sentiasa mematuhi SOP bagi memastikan kadar jangkitan kekal rendah dan tidak menjejaskan operasi perniagaan dan pengedaran.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat