BANGI, 7 MAC 2023 – Program Food Bank Wakaf Rahmah di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Selangor telah dilancarkan oleh YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh. Ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Program Food Bank Siswa (PFBS) yang telah dilaksanakan oleh KPDN sejak Februari 2019.
Program Food Bank Wakaf Rahmah di UNITEN ini memberi manfaat kepada 1,000 orang pelajar yang kurang berkemampuan. Konsep program ini adalah Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar UNITEN bersama Pusat Islam UNITEN akan menyediakan tempat penyimpanan sumbangan makanan serta menyelaras pengagihan sumbangan kepada pelajar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
KPDN juga telah melaksanakan inisiatif Teknologi Pembungkusan Makanan secara Retort yang melibatkan industri perhotelan, katering dan pengeluar makanan. Sebanyak dua belas (12) buah mesin retort sedang beroperasi di sepuluh (10) lokasi terpilih di seluruh negara.
Menurut YB Senator Puan Hajah Fuziah KPDN telah menerima sumbangan mesin retort daripada Yayasan Wakaf Malaysia sebagai instrumen penambahbaikan kepada PFBS. Makanan yang bermasak yang di’retort’ boleh terus dan selamat dimakan akan menambahkan variasi makanan untuk pelajar secara berterusan di samping makanan kering sedia ada.
Mesin Retort ini ditempatkan di Hotel Marriot Putrajaya yang merupakan Rakan Strategik KPDN dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan dan menambah kuantiti serta kualiti bank makanan PFBS. Perbezaan Food Bank Wakaf Rahmah di UNITEN ini adalah penambahan elemen wakaf sebagai penambah baikan ekosistem Food Bank.
Inisiatif pelaksanaan Program Food Bank Wakaf Rahmah ini turut dijayakan dengan sokongan daripada para penyumbang iaitu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Yayasan Al Manjie, Yayasan Food Bank Malaysia, Tamin Group, Le Meridien Hotel Putrajaya, Mamee Double – Decker (M), Haseenah Foundation dan Etika Beverages Sdn Bh, Nestle Products Sdn. Bhd. dan Lotus’s Store.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat