KUALA TERENGGANU, 1 MAC 2023, RABU – YB Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah menghadiri dan merasmikan Menu RAHMAH peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam, Kuala Terengganu.
Inisiatif Menu RAHMAH diperluaskan ke Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam terdiri daripada 8 buah kiosk yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman dan setiap kiosk menawarkan Menu RAHMAH yang tersendiri menjadikan keseluruhan 8 hidangan Menu RAHMAH yang ditawarkan di restoran ini pada harga RM5.00.
Senarai kiosk beserta menu RAHMAH yang ditawarkan adalah seperti berikut:
i. Kiosk 1: Has Aneka Nasi-Nasi Putih, Sayur Dan Ayam Goreng Atau Nasi Putih, Sayur Dan Daging Kicap Atau Nasi Kandar;
ii. Kiosk 2: Has Yong Tau Fu-Yong Tau Foo Atau Nasi Putih, Sayur Dan Ayam Kunyit;
iii. Kiosk 3: Dapor Laki Bini-Nasi Goreng Ikan;
iv. Kiosk 4: Penyu Conner 2-Nasi Goreng Cina Telur Mata;
v. Kiosk 5: Sizling Hot Plate Mok Long-Laksa Penang;
vi. Kiosk 6: Kopi Vietnam-Air Minuman;
vii. Kiosk 7: Makanan Vietnam-Nasi Ayam; dan
viii. Kiosk 8: Pan Mee Tanjung-Pan Mee.
KPDN juga telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my. Sehingga hari ini sebanyak 1,142 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu RAHMAH di seluruh negara.
Pada hari ini, YB Menteri PDN turut menyerahkan sumbangan Bakul RAHMAH kepada 20 penerima daripada golongan asnaf dan setiap Bakul RAHMAH itu bernilai RM 150.00. Inisiatif Bakul RAHMAH ini dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini.
Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan dijangka dapat memberikan manfaat kepada 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan. Kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menjayakan inisiatif Bakul RAHMAH.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat