SHAH ALAM, 3 FEBRUARI 2024, SABTU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah menerima kes serahan daripada Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman yang melibatkan aktiviti yang disyaki penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel.
Serbuan ke sebuah premis yang terletak di sekitar shah alam mendapati sebuah gudang yang menjalankan aktiviti memasar dan mengedar secara borong bahan-bahan petroleum. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut didapati menjalankan aktiviti dan berurusan/memindahkan barang kawalan berjadual jenis diesel tanpa suatu lesen yang sah/tanpa kebenaran dari Pengawal dan didapati premis tersebut juga tidak mempunyai lesen/permit/kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual jenis diesel.
Turut ditemukan adalah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan semasa aktiviti pemindahan bahan api seperti flow meter yang lengkap bersambung dengan hos penyedut cecair. Selain itu, beberapa buah skid tank yang berfungsi untuk menyimpan bahan mudah terbakar seperti diesel turut ditemukan dalam sebuan itu. Sebahagian Skid tank yang dijumpai dikesan ada yang berisi bahan api disyaki diesel serta ada juga yang ditemui kosong. Kenderaan jenis lori tangki turut dijumpai berada di dalam premis yang diserbu.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat di dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran barang kawalan berjadual terbabit. Potensi kesalahan akan disiasat di bawah : i. Seksyen 16 AKB 1961 – menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen atau melanggar syarat-syarat dalam lesen.
Oleh: Unit Komuniasi Korporat