PUTRAJAYA, 20 FEBRUARI 2024, SELASA – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan sesi dialog pada sesi libat urus ‘Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P)’ dan sesi ini merupakan platform memperkukuh agenda kepenggunaan di Malaysia.
Acara hari ini telah mengumpul sebahagian besar iaitu 400 peserta pemegang taruh kepenggunaan yang terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemain industri, ahli akademik, wakil media dan individu bukan Kerajaan (NGI) di bawah satu bumbung bagi membincangkan dan mengetengahkan isu-isu berkaitan kepenggunaan.
Tujuan penganjuran sesi ini untuk mengumpul sebanyak mungkin maklum balas dan cadangan bagi menambah baik kerangka Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) dan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK 2030) sebelum dilancarkan pada tahun ini.
Dasar Pengguna Negara (DPN) sedia ada yang dilancarkan pada tahun 2002 merupakan satu dasar yang memperincikan inisiatif dan tanggungjawab pelbagai pihak berkepentingan dalam melindungi hak pengguna. Setelah lebih dua dekad, wujud keperluan untuk dasar ini ditambah baik dengan mengambil kira situasi perkembangan ekonomi, tuntutan semasa dan keperluan agenda kepenggunaan yang lebih bersifat holistik.
Matlamat libat urus ini adalah untuk menggerakkan agenda besar kepenggunaan yang tidak statik, tetapi bersifat anjal dan responsif mengikut perkembangan dan kompleksiti ekonomi. Ini termasuklah perkembangan amalan perdagangan elektronik (e-commerce), peranan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan trend pengguna global yang amat mementingkan soal dan isu kemampanan (sustainability).
Bagi memastikan DPN terus kekal relevan seiring dengan perkembangan serta cabaran sosioekonomi semasa dan bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, maka penambahbaikan ke atas DPN perlu dilaksanakan dengan mengambil kira peranan pemegang taruh kepenggunaan dalam menjayakannya.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat