KUALA LUMPUR, 27 FEBRUARI 2024, SELASA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Advokasi Kepenggunaan (Pelindungan Harta Intelek) bertempat di Dewan Bunga Raya, Pejabat KPDN WPKL.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada persatuan-persatuan pemilik perniagaan makanan serta persatuan pengguna berkenaan kepentingan pematuhan ke atas perundangan hak cipta khususnya berkaitan kesalahan pelanggaran hak cipta yang melibatkan teknologi penstriman selaras dengan perkembangan penyiaran karya secara dalam talian serta tayangan-tayangan di premis perniagaan yang tidak menggunakan lesen penyiaran komersial.
Program advokasi telah disampaikan oleh penceramah daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Bahagian Pengurusan Kandungan Platform Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memberikan kefahaman yang komprehensif kepada para wakil persatuan.
Turut serta dalam program ini adalah wakil-wakil persatuan seperti Pertubuhan Sahabat Tomyam Perihatin Semalaysia (SAHABAT TOMYAM), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India (PRIMAS), Rakan KPDN dan Persatuan Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal & Warga Emas (PERWATIE) serta Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM).
Oleh: Unit Komunikasi Korporat