PULAU SEBATIK, 3 MAC 2024, AHAD - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengadakan lawatan kerja rasmi dengan mengadakan pemantauan pengedaran barang kawalan dan barang perlu di sekitar Pulau Sebatik, Tawau, Sabah.
Antara tujuan utama sesi turun padang ini adalah bagi mendapatkan maklum balas masyarakat setempat tentang keberadaan bekalan barang-barang keperluan harian. Seterusnya, bagi mengenal pasti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan dan Barang Perlu di kawasan sempadan.
KPDN juga meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan Bagi Kawasan Pedalaman dan Pulau-Pulau.
Penambahbaikan ini akan melibatkan empat komponen iaitu kaedah perolehan pelantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan (transporter), penentuan jumlah kuantiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan.
Penambahbaikan perlu dilaksanakan untuk memastikan objektif pelaksanaan program ini dapat dicapai sekali gus menangani ketirisan subsidi kerajaan dan manfaat pelaksanaan sampai kepada golongan sasar.
Untuk makluman, peruntukan keseluruhan Program Penyeragaman Harga yang diluluskan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM225 juta. Bagi daerah Tawau dan Kalabakan, sebanyak tiga zon terlibat meliputi 13 kawasan pengedaran dan 32 buah Point of Sale. Bagi Zon Sebatik, terdapat lapan kawasan pengedaran yang terlibat iaitu Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang, Bergusong, Sungai Pukul, Sungai Pisak-Pisak, Sungai Lahi dan Sungai Laba dengan 21 buah Point of Sale.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat