PULAU SEBATIK, 3 MAC 2024, AHAD - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah memulakan lawatan kerja rasmi ke Tawau, Sabah dengan mengadakan tinjauan ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Antara objektif dan tujuan utama lawatan kerja ini dilaksanakan adalah untuk melihat operasi di lapangan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi menangani isu ketirisan barang-barang kawalan dan barang-barang kawalan bersubsidi.
KPDN mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi menerusi pendekatan operasi bersepadu bermula pada tahun 2020 bagi memantau pengedaran dan mengawal ketirisan barangan kawalan.
Kerjasama ini meliputi pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia yang berpotensi digunakan sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan.
KPDN juga telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan bersama 16 Agensi-agensi Penguatkuasaan di Sabah bagi memperkukuhkan kerjasama dan keberkesanan penguatkuasaan.
Antara fokus penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan adalah keperluan logistik semasa tangkapan dan sitaan, bantuan keselamatan, perkongsian maklumat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serahan kes daripada pelbagai agensi kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDN.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat