NILAI, 29 MEI 2024 (RABU) - YB Senator Puan Hajah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyempurnakan Sesi Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH kepada pengusaha Kedai Nasi Ayam Berempah, di Nilai, Negeri Sembilan.
Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini merupakan salah satu kerjasama strategik di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran khusus buat pengusaha-pengusaha Menu RAHMAH di seluruh negara. Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH.
Pada masa yang sama, inisiatif ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan Program Menu RAHMAH sebagai galakan untuk meningkatkan lagi bilangan pengusaha restoran dalam menyertai Program Menu RAHMAH. Kementerian komited dalam memperluaskan dan menjayakan lagi Program Menu RAHMAH bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan di luar dengan harga yang berpatutan.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat