Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

OPS TIRIS 3.0 - KPDN SABAH SERBU STOR HARAM, 4,000 LITER MINYAK DIESEL BERJAYA DIRAMPAS

Kota Kinabalu, 19 Jun 2024, RABU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor, berhadapan SJK(C) Kuok Ming, Jalan Sin San, Pasir Putih Tawau Sabah pada 19 Jun 2024.

Serbuan dijalankan sekitar jam 2.20 petang oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah dan telah menjumpai serta menyita sebanyak 4,000 liter minyak diesel yang ditemui dalam 18 unit drum berkapasiti 200 liter (sebanyak 2,000 liter) dan dalam sebuah tangki trailer berkapasiti 20,000 liter (sebanyak 2,000 liter) yang disyaki diselewengkan. Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM 104,500.00.

Risikan telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan. Berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.

Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive