PUTRAJAYA, 9 OGOS 2024, JUMAAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam satu serbuan yang telah dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Jeram, Selangor pada 6 Ogos 2024.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang bermula kira-kira jam 2.30 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.
Hasil maklumat awal yang diperolehi, sindiket ini disyaki membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram berkenaan yang yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan. Minyak masak paket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki silinder serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi.
Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di keseluruhan premis telah menemukan sebuah lori yang mengandungi muatan minyak masak paket 1kg, sebuah tangki silinder yang mengandungi hampir 4,000kg minyak masak selain 128 bungkusan plastik minyak masak paket 1kg pelbagai jenama yang telah dipotong pembungkusnya.
Kesemua minyak masak paket 1kg bersubsidi dianggarkan hampir 10,015kg serta beberapa peralatan yang digunakan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah dan beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM64,567.50.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat