KEMBARA REDI ZON BORNEO 2025 BERJAYA CATAT 10,408 PENDAFTARAN
e-WALLET
TAWAU, 5 JULAI 2025, SABTU - Kembara ReDI Zon Sabah dan Sarawak 2025 mengakhiri garisan penamatnya setelah berlangsung selama 10 hari bermula 26 Jun sehingga 5 Julai 2025 melibatkan penyertaan seramai 24 peserta merangkumi enam (6) kumpulan. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Roziah Abudin, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDN.
Kembara ReDI ini berjaya merentasi perjalanan sejauh 2,421 kilometer melintasi laluan Pan Borneo bermula di Semantan, Sarawak dan berakhir di Tawau, Sabah melibatkan 30 lokasi check point di sepanjang perjalanan dan berjaya mencatat rekod pencapaian sebanyak 10,408 pendaftaran e-wallet bagi peniaga-peniagal kecil di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Majlis menyaksikan Kemenangan pasukan Delta dengan pencapaian rekod daftar e-wallet sebanyak 2,471 dan berjaya merangkul tempat utama dengan membawa pulang hadiah berupa e-wallet berjumlah RM4,000, medal dan sijil. Menduduki tempat kedua dengan rekod daftar e-wallet sebanyak 2,447 dimenangi oleh pasukan Charlie dengan membawa pulang hadiah e-wallet berjumlah RM3,000, medal dan sijil dan ditempat ketiga dengan rekod daftar e-wallet sebanyak 2,070 disandang oleh pasukan Alpha dengan membawa pulang hadiah e-wallet berjumlah RM2,000, medal dan sijil. Tiga (3) lagi pasukan membawa pulang e-wallet bernilai RM400, medal dan sijil sebagai hadiah saguhati.
Turut hadir bersama adalah YBhg. Dato’ Rohaizi Bahari, Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, YBrs. En. Muhamad Hanif Asa’ari, Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP), YBrs. En. Shahril Nizam Shahidin, Pengarah KPDN Negeri Sabah, YBrs. Pn. Junaidah Arbain, Pengarah KPDN W.P Labuan, wakil-wakil syarikat penyedia platform e-wallet dan Pegawai-pegawai kanan kementerian.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat