PERASMIAN JELAJAH KARNIVAL KPDN 2025 DAN KEMPEN BELI BARANGAN MALAYSIA ZON TENGAH
SHAH ALAM, 22 NOVEMBER 2025 (SABTU) – YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hari ini telah menyempurnakan perasmian Program Jelajah Karnival KPDN 2025 serta Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Tengah yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor.
YB Menteri turut melancarkan Aplikasi EZ-TTPM, sebuah inisiatif digital baharu kementerian yang direka untuk memperkukuh keadilan pengguna. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memfailkan tuntutan, memuat naik dokumen sokongand an membuat semakan status kes terus melalui Portal TTPM tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat TTPM. Langkah ini menunjukkan komitmen KPDN dalam memanfaatkan teknologi digital bagi memudahkan rakyat mendapatkan khidmat dan perlindungan pengguna dengan lebih efisien.
Dalam usaha menyantuni masyarakat, YB Menteri turut menyampaikan 200 Bakul RAHMAH kepada penerima yang layak, di samping mengumumkan sesi Happy Hour yang menawarkan diskaun luar biasa untuk barangan keperluan harian di Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM).
Beliau kemudiannya meluangkan masa meninjau Khemah PJRM serta segmen Kempen Beli Barangan Malaysia, yang menyokong usaha mempromosi produk tempatan dan memacu pertumbuhan ekonomi domestik.
Hadir bersama ialah YB Tuan Haji Azli bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Dato’ Hj Amran bin Hj Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat
