Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

logo of ministry of domestic trade and consumer affairs malaysia

PUTRAJAYA, 9 Oktober 2021 – Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti menjual produk makanan tambahan kesihatan telah dituduh di bawah kesalahan pengubahan wang haram kerana mempromosikan dan menjalankan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Tuan Azman, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Syarikat tersebut telah dijatuhkan hukuman bersalah di hadapan Hakim Y.A Tuan Ahmad Kamar bin Jamaludin ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah 10, Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2021.

Berdasarkan pertuduhan, pada 27 Oktober 2018 kira-kira jam 11.30 malam, syarikat didapati melakukan aktiviti mempromosi produk makanan tambahan kesihatan. Serbuan dilaksanakan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta yang sama (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.

Tambahnya lagi, , berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi semasa serbuan ke atas syarikat juga disyaki telah melakukan suatu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) iaitu melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan memperoleh, menerima, memiliki hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Dalam hubungan ini, syarikat telah didakwa atas enam (6) pertuduhan menerima wang berjumlah RM450,000.00 hasil daripada aktiviti haram daripada urusniaga jualan langsung tanpa lesen sah iaitu melibatkan tiga (3) akaun semasa syarikat di tiga (3) buah bank di antara 17 September 2017 sehingga 6 Disember 2017 dan 14 November 2018 sehingga 21 November 2018.

Untuk makluman, sepanjang tempoh tahun 2016 sehingga 2021 KPDNHEP telah melaksanakan tindakan ke atas beberapa kes melibatkan jualan langsung dan skim anti piramid sehingga ke peringkat pelucuthakan dengan nilai RM 55,998,196.06 dan denda sebanyak RM 17,000,000.00.

 Tegasnya lagi, KPDNHEP akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah serta aktiviti skim piramid yang menyalahi undangundang ini.

Pengguna diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah atau berunsurkan skim piramid ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jualan langsung dan skim piramid yang meragukan boleh mengemukakan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi KPDNHEP.


PUTRAJAYA, 8 Oktober 2021 - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri). YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP berkata bahawa KPDNHEP sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) seperti pasaraya dan telah ada yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Pembukaan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) oleh pasaraya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober 2021. KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) selain daripada farmasi dan klinik.

KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu. Terdapat lebih kurang 6 juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) telah berada dalam pasaran. Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September 2021 turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) tersebut.

Kerajaan juga telah menerima maklumbalas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.

Dalam kenyataan medianya, memaklumkan bahawa KPDNHEP akan mengeluarkan satu paras harga yang baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan dalam bulan November 2021. Beliau turut berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak.Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik ini dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik.


PUTRAJAYA, 8 OKTOBER 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil pendekatan dan semangat Keluarga Malaysia dalam menstabilkan harga ayam dan telur di pasaran. Ini merupakan keprihatinan Kerajaan terhadap bekalan dan harga sumber protin utama untuk semua peringkat terutama golongan B40 dan M40.

Seperti sedia maklum, harga jagung dan protin soya yang menjadi makanan kepada ayam pedaging dan telur di samping vitamin, minerals dan ubat-ubatan telah memberi kesan kepada kos operasi di semua peringkat termasuk integrator makanan ternakan, penternak dan pengeluar, pemborong, peniaga runcit dan di hujung rantaian tersebut adalah pengguna yang amat terasa dengan kenaikan harga runcit di pasaran.

Harga Jagung dan Protin Soya yang dimport sepenuhnya telah meningkat sebanyak 72% dari USD236 per tan metrik pada tahun 2020 ke USD406 per metrik tan sejak pertengahan tahun 2021. Menyedari trend kenaikan tersebut, KPDNHEP  telah mengadakan libat-urus dengan semua pemain industri di semua peringkat rantaian sejak itu.

Melalui semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri KPDNHEP telah mendapat kerjasama dari semua ‘ahli keluarga’ industri ayam dan telur untuk melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian di mana semua pemain industri bersetuju kepada margin yang munasabah dalam menentukan harga berpatutan di peringkat runcit buat masa ini sehingga harga import makanan ternakan ayam kembali stabil.

Menurut data dan trend harga ayam yang dikeluarkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pada September – Oktober 2021 mendapati harga purata nasional ayam bersih standard sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10.00 sekilogram dan ke atas pada awal September. Hasil pemeriksaan KPDNHEP pada 4 Oktober 2021 pula,  hanya 2 premis daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram.

YB Dato Sri Menteri KPDNHEP bersama Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP dan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP telah turun padang ke sebuah integrator pengeluar ayam dan berbincang langkah-langkah seterusnya untuk  mengurangkan kesan kenaikan harga import makanan ternakan terhadap harga runcit ayam dan telur di pasaran.

Seramai 1,000 Pegawai Pemantau Harga dan 2,200 Pegawai Penguat Kuasa dalam membuat pemantauan dan pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar pada setiap hari bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna.

KPDNHEP yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit yang semestinya akan diteruskan di masa hadapan.

KPDNHEP menasihati pengguna agar bijak merancang perbelanjaan serta mencadangkan pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membantu membuat pembelian yang bijak. Sebarang aduan berkaitan harga barang atau kurang bekalan juga boleh dibuat melalui saluran yang disediakan oleh Kementerian.


bekalan ayam dan telur ayam dijamin mencukupi

PUTRAJAYA, 7 Oktober 2021 – Susulan laporan di akhabar dan media sosial berkaitan peningkatan permintaan ke atas ayam dan telur ayam di pasaran, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai isu tersebut.

Seperti sedia maklum, ayam dan telur ayam merupakan antara makanan asas utama sebagai sumber protein yang menjadi pilihan rakyat Malaysia. Susulan daripada pewartaan ayam dan telur ayam sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, KPDNHEP berperanan memastikan bekalan ayam dan telur ayam sentiasa stabil, mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga yang munasabah di pasaran.

Beberapa tindakan proaktif telah dilaksanakan oleh KPDNHEP, bagi memastikan bekalan mencukupi. Antaranya membuat pemantauan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam secara komprehensif, menjalinkan kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit dari segi pengeluaran dan pengedaran.

Penguat Kuasa KPDNHEP juga sentiasa membuat pemantauan bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September 2020 dan pemantauan bekalan ke atas beberapa syarikat pengeluar telur ayam bagi melihat kedudukan bekalan ayam dan telur ayam di seluruh negara.

Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan Oktober 2021 adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan manakala anggaran pengeluaran bekalan bagi telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan. Berdasarkan data tersebut, pengeluaran ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna.

Sehubungan itu, KPDNHEP ingin mengingatkan kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna. Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000.000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salahlaku peniaga boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran rasmi KPDNHEP.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive