Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 25 SEPTEMBER 2021 – Susulan pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus dilaksanakan berperingkat mulai 15 Oktober 202,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil maklum dan melaksanakan Program Food Bank Siswa.

Program Food Bank Siswa ini adalah usaha bagi membantu pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) daripada keluarga kurang berkemampuan agar mereka dapat memberi fokus dengan lebih baik terhadap pembelajaran. Ini merupakan kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia yang telah diperkenalkan mulai 15 Februari 2019 oleh KPDNHEP.

Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP berkata, melalui program ini pelajar akan diberi bantuan makanan dan ianya dapat meringkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh pelajar tersebut. Selain itu, program ini turut mengalu-alukan penglibatan pelajar terutamanya persatuan pelajar sebagai penggerak program yang mana boleh dijadikan sebagai platform bagi membentuk semangat dan budaya kesukarelawan di kalangan pelajar IPT.

Tambahnya lagi, sehingga 15 September 2021, Program Food Bank Siswa ini telah berjaya  dilaksanakan di 27 buah IPTA, IPTS dan Politeknik di seluruh negara dan seramai 19,754 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif program ini.

Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan Program Food Siswa, pada tahun ini, dua (2) buah IPT telah berjaya melaksanakan program Pada masa yang sama, KPDNHEP sedang membuat persediaan untuk melaksanakan Program Food Bank Siswa di tiga (3) buah IPT yang lain. Pelaksanaan Program Food Bank Siswa ini menggunakan konsep Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) akan menyediakan tempat penyimpanan makanan kering untuk diagihkan kepada pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Pihak Kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan pihak KPT bagi memastikan usaha untuk menjaga kebajikan pelajar akan terus dapat dibantu melalui inisiatif program ini. Pihak Kementerian juga akan terus komited melalui kerjasama strategik dengan pihak KPT untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap Program Food Bank Siswa agar pelaksanaan program ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan berkesan.

Pihak KPDNHEP juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong Program ini khususnya kepada Rakan Strategik Utama Program Food Bank Malaysia yang telah dilantik oleh Kementerian iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen, Mutiara Food Bank, Kumpulan Legasi Z Sufi, The Lost Food Project, Persatuan Kebajikan Usahawan Mikro Malaysia dan Nation of Women. Kementerian berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan tampil untuk menyokong kepada pelaksanaan Program Food Bank Malaysia ini agar terus dapat membantu mereka yang memerlukan.   


PUTRAJAYA, 23 September 2021 –  Berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands yang telah dilaporkan di akhbar,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)telah mengambil maklum mengenai perkara ini.

Sehubungan itu, KPDNHEP telah menghubungi Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta dan telah dimaklumkan bahawa Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah- Cameron Highlands telah dikenalpasti sebagai laluan alternatif yang boleh digunakan untuk membawa sayur-sayuran hasil dari ladang-ladang Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya ke pusat-pusat pengedaran di seluruh negara.

Pihak Kementerian juga turut memberi jaminan bahawa bekalan sayur-sayuran bagi pasaran tempatan adalah tidak terjejas. Pengguna dan peniaga di nasihatkan agar tidak panik serta situasi ini tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga sayur-sayuran untuk menaikkan harga di pasaran.

Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP pada 21 September 2021 ke atas 685 premis meliputi semua rantaian bekalan iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit, mendapati bekalan sayur-sayuran di pasaran adalah stabil dan mencukupi.

Kenaikan harga lima jenis sayur seperti yang dilaporkan di akhbar seperti sawi, cili, lada benggala dan beberapa jenis salad adalah kes lokaliti dan tiada kena mengena dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku.

Selain itu, peniaga sayur dinasihatkan untuk tidak menaikkan harga sayur sewenang-wenangnya. Pengguna juga diminta turut sama memantau serta menyalurkan maklumat aduan secara rasmi berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP. Aduan boleh disalurkan di medium rasmi Kementerian iaitu:

  • Whatsapp 019-279 4317
  • Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my
  • Call Centre 1-800-886-800
  • Emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245

Putrajaya, 22 September 2021 – Susulan isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September yang lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memantau rapi isu ini.

Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, pada 13 September 2021, sebanyak 98 premis runcit (14.58%) yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10.00/kilogram. KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam. 

Menurut kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh KPDNHEP bersama MAFI, usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila data telah menunjukan trend penurunan harga berbanding awal September lalu. Trend ini juga dijangka akan terus menunjukkan penurunan dan juga ianya dapat menstabilkan harga ayam di pasaran.

Walaupun harga ayam kembali terkawal, kedua-dua Kementerian ini bersetuju usaha untuk menstabilkan harga ayam secara libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan ini diteruskan.

KPDNHEP dan MAFI juga telah mengadakan mesyuarat bersama bagi meneliti beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu harga ayam ini. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri, Dato’ Rosol Wahid, Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dan Timbalan Menteri I, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah serta pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua Kementerian.

Mesyuarat dimaklumkan, melalui sesi libat urus yang telah dilakukan oleh KPDNHEP dan MAFI bersama pihak industri di seluruh Negara, pihak industri bersetuju untuk menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar/ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan.

Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua Kementerian bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha untuk menstabilkan harga ayam, antaranya pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Selain itu, Kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam ini.

Akhir sekali, KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini, tindakan tegas akan diambil.


Putrajaya, 17 September 2021- Berikutan isu kenaikan harga ayam standard, YB Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah memberi jawapan kepada persoalan berhubung isu ini serta menjelaskan pendekatan yang diambil oleh Kementerian. 

YB Menteri memaklumkan antara pendekatan yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian ialah mengadakan sesi libat urus bersama penternak dan peladang ayam. Selain itu, pemeriksaan menyeluruh Pegawai Penguatkuasa di semua peringkat rantaian bekalan ayam. Pemeriksaan dan pemantauan ini adalah tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Sekiranya situasi pergerakan harga menunjukkan kenaikan yang tidak terkawal, tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 boleh dilaksanakan kepada pengeluar dan pemborong ayam.

Kementerian juga melaksanakan mekanisme pengeluaran Surat Pemberitahuan kepada setiap rantaian peniaga ayam. Ini adalah untuk membuat semakan harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin keuntungan yang lebih munasabah. Ianya juga memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga dari mana-mana peringkat rantaian pengedaran secara sewenang-wenangnya. Pasukan Petugas Khas juga diwujudkan bagi menangani isu ini secara terus di kawasan yang terlibat dengan aduan kenaikan harga.

Ketika diajukan soalan mengenai perlaksanaan kawalan harga, YB Menteri memaklumkan buat masa ini KPDNHEP masih tidak bercadang untuk melaksanakan kawalan harga sepanjang masa kecuali yang telah sedia dilaksanakan ketika musim perayaan iaitu Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP). 

Walau bagaimanapun, tidak teragak-agak untuk melaksanakan penguatkuasan yang lebih deterent dengan melakukan kawalan harga sepanjang masa, jika harga di setiap pengedaran ayam semakin meningkat dan tidak munasabah.

Pihak Kementerian kini sedang menfokuskan kepada mekanisme mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri dari setiap peringkat supaya tidak membuat sebarang tekanan harga yang memberi kesan kepada harga peruncit. Mekanisme pengeluaran Surat Pemberitahuan pula digunakan sebagai soft-approach yang bersifat seimbang serta mengambil kira situasi yang dihadapi oleh pihak industry susulan kenaikan makanan ternakan.

Menurutnya lagi, isu kos tinggi bagi makanan ternakan juga mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna. Untuk makluman, industri dan bekalan ayam serta makanan ternakan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dan pihak Kementerian sedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam pengguna di pasaran.

“Sebagai langkah yang proaktif, saya telah mengadakan perbincangan bersama MAFI serta Kementerian Kewangan bagi mencari satu penyelesaian jangka panjang yang munasabah serta boleh dilaksanakan oleh Kerajaan bagi menstabilkan harga ayam” ujarnya.

Mengenai persoalan tentang penglibatan mana mana kartel disebalik kenaikan harga ayam ini, YB Menteri menjelaskan bahawa tiada perlakuan kartel dikesan setakat ini. Namun, KPDNHEP bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan menyiasat di bawah perundangan yang dikuatkuasakan.

KPDNHEP memahami kerugian yang dialami oleh pihak peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan namun, Kementerian ingin menasihatkan agar peniaga di setiap rantaian bekalan ayam untuk tidak mengambil tindakan drastik dengan menaikkan harga bagi menampung kerugian mereka. Akhir sekali, YB Menteri mengingatkan orang tengah untuk tidak mengambil kesempatan yang turut menekan peniaga dan pengguna.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive