Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
FOOD BANK MALAYSIA MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN DARIPADA SYARIKAT TAMIN BAGI MEMBANTU MANGSA BANJIR

PUTRAJAYA, 22 DISEMBER 2022, KHAMIS – YB Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mewakili Food Bank Malaysia telah menerima sumbangan barangan makanan asas daripada Syarikat Tamin Sdn Bhd yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutinya, Tuan Abdul Talib Bin Abdul Rahman bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di kawasan-kawasan terlibat terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

Untuk pengetahuan, Syarikat Tamin telah menyumbangkan sebanyak 1 tan barang makanan asas yang dianggarkan bernilai RM 7,300.00 bagi peringkat pertama ini dan akan melakukan penghantaran sumbangan seterusnya secara berperingkat.

Seterusnya, sumbangan ini kemudiannya akan diselaraskan oleh Sekretariat Food Bank Malaysia sebelum diedarkan kepada Pejabat KPDN Negeri sebelum diserahkan kepada mangsa banjir yang terlibat. Rakan Strategik Program Food Bank serta NGO yang berkenaan akan turut serta dalam pengagihan sumbangan ini untuk dihantar terus ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan yang terlibat.

KPDN mewakili Food Bank Malaysia amat berbesar hati  menerima sumbangan ini dan Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Tamin dan amat mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi  dan orang perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam  membantu golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PENGUMUMAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (SHMMP) KRISMAS 2022

titleKUALA LUMPUR, 20 Disember 2022 - Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pusat Media Parlimen.

Menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini, SHMMP Krismas 2022 akan dilaksanakan berkuatkuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember 2022.

Tempoh pelaksanaan adalah selama 5 hari iaitu 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan.

Pada masa yang sama, ayam dan telur ayam sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan penentuan harga ayam dan telur ayam.

SHMMP Krismas 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di semua peringkat. Sebanyak 11 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2022. Senarai barangan bagi Skim ini adalah seperti berikut:

(i) Ayam Tua Hidup (Dikawal di Sarawak)

(ii) Kepak Ayam (Dikawal di Sarawak, Sabah dan WP Labuan)

(iii) Daging Kambing Biri-Biri Import Bertulang

(iv) Tomato

(v) Lada Benggala Hijau

(vi) Kubis Bulat Import (China dan Indonesia)

(vii) Lobak Merah

(viii) Ubi Kentang Import (China)

(ix) Babi Hidup(Dikawal peringkat ladang)**

(x) Daging Babi (Perut)**

(xi) Daging Babi (Daging dan Lemak)**

**Dikawal di Sarawak, Sabah dan WP Labuan

Menurut beliau, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari pemain industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi di bawahnya dan data-data harga barangan yang dikutip oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDN.

Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN telah ditugaskan di lokasilokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


OPS TERJAH PEMERIKSAAN KEBERADAAN BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN DI PASARAN

OPS TERJAH PEMERIKSAAN KEBERADAAN BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN DI PASARAN

Kuala Lumpur, 16 Disember 2022 – YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub hari rini telah melakukan lawatan secara mengejut ke pasar pagi di Kuala Lumpur untuk memeriksa sendiri keadaan bekalan dan harga barangan keperluan asas.  Pada hari ini juga, beliau dengan rasminya telah melancarkan OPS TERJAH.

Menurut beliau, OPS TERJAH ini adalah untuk melihat sendiri masalah bekalan dan harga barangan asas, mengenalpasti zon atau kawasan mana yang terjejas dengan bekalan dan harga serta tahap keseriusannya. Ianya juga untuk mengenalpasti punca utama kenapa berlakunya isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

Melalui dapatan daripada OPS TERJAH ini, kerajaan akan pastikan rangka kerja untuk tindakan segera dihasilkan. Pihak Kementerian juga sedang menyediakan pelan strategik jangka masa pendek dan sederhana berdasarkan maklumat yang kami terima. Ini amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan barangan asas memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.

Ini merupakan kali ketiga beliau melakukannya, sejak menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selaras dengan objektif utama OPS TERJAH, 2,200 orang Pegawai Penguat  Kuasa KPDN akan digerakkan untuk melakukan OPS TERJAH  di seluruh negara dalam masa sebulan ini dan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan asas kepada Kementerian.

Pemeriksaan di bawah OPS TERJAH ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambahnya lagi, KPDN ingin meminta kerjasama kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak Penguat Kuasa Kementerian.

KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota-anggota Penguat Kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) dan Kereta Peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara di atas boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi yang telah disediakan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PENGUAT KUASA KPDN BERJAYA MENUMPASKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI

SELAMAT DATANG DAN TAHNIAH KEPADA YB DATUK SERI SALAHUDDIN BIN AYUB

PUTRAJAYA, 13 Disember 2022 – Satu aktiviti penyelewangan ,minyak diesel bersubsidi telah berjaya ditumpaskan oleh Penguat Kuasa Kementerian PErdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Serbuan telah dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Telok Panglima Garang, Selangor pada 12 Disember 2022.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDN serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya dan ketika serbuan dilakukan tiada individu/orang ditemui berada di dalam premis terbabit namun terdapat sebuah lori yang didapati telah diubahsuai dan dua (2) buah tangki (skid tank) yang berada di dalam premis terbabit.

Hasil pemeriksaan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 23,325 liter selain pam bermotor, sebuah kereta dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel. 

Minyak diesel, kenderaan lori dan kereta serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 102,000.00.

Tambahnya lagi, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini. Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil  pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive