Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KPDNHEP BERJAYA MENUMPASKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI

PUTRAJAYA, 16 November 2022 – Satu serbuan berkaitan aktiviti peyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).  Serbuan itu dijalankan ke atas sebuah premis tanpa nama yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah kawasan perindustrian di Seremban, N.Sembilan pada 10 November 2022.

Menurut Tuan Azman Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP , serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEPPutrajya. Risikan juga telah dijalankan  beberapa hari sebelum serbuan. Ketika serbuan dilakukan ke atas premis terbabit mendapati tiga (3) orang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki simpanan ke sebuah lori tanker.

Hasil pemeriksaan telah menemukan minyak diesel diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 40,000 liter, kenderaan lori, mesin compressor, dokumen-dokumen perniagaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel. Semua barangan yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 323,000.00. Ketiga-tiga lelaki warga tempatan tersebut juga telah ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya lagi, kertas siasatan telah dibuka dan dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah daripada mana minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).       

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan ke saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PROGRAM USAHAWAN MUDA 2022 SSM PERINGKAT ZON PANTAI TIMUR

KUALA BERANG, 16 NOVEMBER 2022, RABU - YB Dato’ Rosol Bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini telah merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) siri ke-6 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) peringkat Negeri Terengganu dan Kelantan yang bertempat di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jenagor, Kuala Berang, Terengganu.

Untuk pengetahuan, program ini telah menarik lebih 1,400 penyertaan melibatkan pelajar dari Politeknik, Kolej Komuniti, Pusat Latihan GIATMARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dari Negeri Terengganu dan Kelantan.

Program ini bertujuan bagi memberi kefahaman berkaitan tatacara serta perundangan yang dikawal selia SSM berhubung keperluan dan faedah mendaftarkan perniagaan, strategi perniagaan dan pengurusan kewangan, serta strategi pemasaran digital dan perkongsian oleh usahawan berjaya.

Pada masa yang sama, para peserta juga akan didedahkan kepada kesedaran dan perlindungan hak-hak pengguna agar peserta lebih peka dan prihatin tentang isu-isu kepenggunaan.

Seterusnya, program ini membuka peluang kepada peserta untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diperkenalkan bagi memberi kemudahan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan usahawan B40 dan pelaiar IPT sepenuh masa.

Turut berlangsung, sesi penyerahan agihan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM65,000 kepada empat buah masjid, satu pertubuhan kebajikan dan lapan Institusi Pengajian Tinggi yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PENGUATKUASAAN KPDNHEP KE ATAS AKTIVITI PENJUALAN JERSI TIRUAN SEMPENA KEJOHANAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA FIFA 2022

PUTRAJAYA, 15 November 2022 – Bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2022 yang berlangsung pada 20 November 2022 hingga 18 Disember 2022 ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan ke atas penjualan jersi tiruan di seluruh Negara.

Menurut Tuan Azman Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, sebanyak 526 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 11.6 juta sejak lima (5) tahun kebelakangan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Oktober 2022. Penguatkuasaan yang melibatkan pelbagai jenis barangan lain juga dijalankan antaranya melibatkan makanan/minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya.

Selain itu, pihak KPDNHEP sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar (brand owner) bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuklah aktiviti penjualan barang tiruan yang dilakukan secara dalam talian (online).

Sekiranya didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun bagi perseorangan. Manakala bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan.

Tambahnya lagi, KPDNHEP ingin memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah dengan    tidak menjual jersi tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.

KPDNHEP juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan jika disabitkan kesalahan. Pengguna juga dinasihatkan untuk berhati-hati di dalam melakukan pembelian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barang tiruan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


program inisiatif pendigitalan sektor peruncitan redi original

PAUH, PERLIS, 10 November 2022 - YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, KSU KPDNHEP telah menyempurnakan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retails Digitalisation Inisiative (ReDI) yang diperluaskan lagi kepada enam pasar malam utama di negeri ini mengangkat tema 'go cashless'.

Sehingga 31 Oktober ini, sebanyak 186 peniaga di Perlis dan 5,596 peniaga seluruh negara telah berjaya didaftarkan di bawah ReDI. Kementerian turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM7,600 menerusi insentif tanpa tunai yang meliputi 120 peniaga dan 200 pengguna pasar malam di Perlis dalam usaha untuk menggalakkan peniaga/pengguna tersebut beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai.

Menurut Datuk Azman, Inisiatif ini bukan hanya dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna selain ianya mudah, cepat dan selamat.

ReDI juga bertujuan untuk memastikan peniaga kecil di luar bandar tidak ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital selain dapat menggalakkan dan memberi pilihan kepada pengguna memilih e-wallet ketika membeli serta mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive