Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 3 OKTOBER 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022. Perintah ini mula berkuat kuasa pada 8 Oktober 2022 sehingga 7 November 2022. 

Ini merupakan susulan daripada pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kilogram hingga 5 kilogram.

Berikut adalah Harga Runcit Maksimum bagi barangan harga terkawal minyak masak sawit tulen dalam botol seperti jadual tersebut :

Barangan

Kuantiti (Kilogram)

Harga Runcit (RM)

Minyak Masak

1 kg

7.10

2 kg

13.50

3 kg

19.90

5 kg

31.50

Harga Runcit Maksimum Bagi Minyak Masak (Botol)

Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

  1. Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan;
  2. Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000.

Berikutan penetapan harga baharu bagi minyak masak tulen kemasan botol ini berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia. Akhir sekali, KPDNHEP turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran melalui saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PUTRAJAYA, 30 September 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti saranan mengenai keperluan untuk mengawal selia pusat yang menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan.

Menurut YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam sektor perdagangan dalam negeri dan kebajikan pengguna, beliau berkongsi keprihatinan yang sama dan adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan di Malaysia bagi memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna.

KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri pusat kecantikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari kaedah pengawal seliaan yang terbaik ke atas industri kecantikan di negara ini, dengan jangkaan nilai pasaran bernilai lebih dari USD999 juta menjelang 2026.

Selain itu, industri ini juga berpotensi untuk memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara. KPDNHEP mengambil langkah proaktif untuk meneliti kepelbagaian aspek dalam industri rawatan kecantikan, yang antaranya melibatkan permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa rawatan kecantikan dan keselamatan pengguna.

Sehubungan dengan itu,, satu sesi libat urus KPDNHEP bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) telah diadakan baru- baru ini. VTCT adalah sebuah pusat latihan kecantikan yang diiktiraf oleh Ofqual, sebuah agensi Kerajaan UK yang melaporkan secara terus kepada Parlimen UK bagi urusan kelayakan dan perundangan yang melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.

Dato Sri Alexander memaklumkan, dalam perbincangan tersebut beberapa aspek penting telah diberi perhatian. Antaranya:

  • Pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja dengan memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf,
  • Memastikan mesin dan peralatan yang digunakan adalah peralatan yang didaftarkan,
  • Pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan yang diiktiraf ,
  • Melindungi pengguna melalui perlindungan insurans, dan
  • Bahan-bahan dalam rawatan adalah yang disahkan selamat oleh

Kesemua usaha yang dijalankan ini diharap dapat membantu memperkukuhkan industri kecantikan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada negara tetapi juga menjamin kualiti keselamatan pada tahap yang tinggi kepada pengguna.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


BANGI, 29 SEPTEMBER 2022, KHAMIS- Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), YBhg Datuk Azman bin Mohd Yusof, hari ini mewakili Kementerian menerima serahan dokumen KPDNHEP Digital oleh Syarikat Perunding UPUM Sdn. Bhd menerusi projek “Kajian Penyediaan Blueprint Pendigitalan Perkhidmatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Secara End-to-End dan Big Data di Bangi Resort Hotel dan program ini dilaksanakan bermula 15 Ogos 2021 dan akan tamat pada 14 Oktober 2022.

Blueprint Pendigitalan dibangunkan bertujuan sebagai panduan bagi memacu ke arah transformasi digital KPDNHEP. Ini adalah demi memastikan KPDNHEP, terus mengorak langkah menjadi Kementerian Premier Negara dan memastikan visi KPDNHEP iaitu ‘Perdagangan dalam negeri yang progresif, mampan’ tercapai.

Menurut Datuk Azman, KPDNHEP Digital ini dibangunkan bagi mengenal pasti proses-proses kerja manual dan hybrid yang berpotensi untuk ditransformasikan supaya bersifat digital secara holistik. Blueprint  ini memuatkan cadangan-cadangan pendigitalan yang berasaskan kepada tiga (3) gelombang seperti berikut:

  • Gelombang pertama adalah “Keutamaan Digital” (Digital First) yang menekankan agar sebarang maklumat yang berkaitan dengan proses kerja adalah digital.
  • Gelombang kedua pula adalah “Operasi Digital” (Digital Operation) yang mengutamakan penggunaan maklumat secara digital dan teknologi untuk memudahkan proses kerja yang lengkap dan meningkatkan fungsi perkhidmatan kepada rakyat.
  • Gelombang ketiga, “Ekosistem Digital” (Digital Ecosystem) adalah untuk memastikan agar kesemua perkhidmatan KPDNHEP adalah bersifat End-to-End (E2E).

Majlis penyerahan hari ini dijangka dapat membantu KPDNHEP mengorak langkah yang tersusun dalam proses digitalisasi seterusnya meningkatkan keupayaan dan mutu perkhidmatan KPDNHEP dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PUTRAJAYA, 28 September 2022- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima aduan mengenai penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG). Kesukaran bagi mendapatkan bekalan kad NFC ini telah menyaksikan wujudnya penjualannya di beberapa platform pasaran dalam talian dengan harga yang berlipat ganda.

Menurut YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna, bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu, sebanyak empat aduan rasmi mengenai kad NFC ini telah diterima. Selain itu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP juga telah mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platfrom dalam talian. Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

Berdasarkan siasatan awal, kes penjualan kad NFC turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak. Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian.

Sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP. Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas.

Tambahnya lagi,  Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG, yang dijangka akan berlangsung dalam masa yang terdekat. Pertemuan berkenaan antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.

Orang ramai boleh terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP serta salura-saluran rasmi KPDNHEP berhubung isu sama untuk tindakan lanjut dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive